Home » Langit Terbuka » Kenapa solat Subuh di Selangor lewat 8 minit?

Kenapa solat Subuh di Selangor lewat 8 minit?

Waktu solat Subuh di selangor dilewatkan lapan minit berdasarkan penemuan daripada kajian oleh JAKIM, yang diketuai oleh Universiti Malaya dan dianggotai oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan yg lain. - Foto Shutterstock

SHAH ALAM – Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkaitan solat Subuh lewat 8 minit yang diumumkan semalam.

Berikutan antara soal jawab yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Selangor.

S1: Kenapa tiba-tiba waktu solat Subuh di Selangor dilewatkan?

J1: Ia berdasarkan penemuan daripada kajian oleh Jakim, yang diketuai oleh Universiti Malaya dan dianggotai oleh beberapa universiti dan agensi kerajaan yg lain.

Kajian ini mendapati bahawa waktu bermulanya fajar sadiq, iaitu waktu bermulanya subuh, berlaku pada sudut matahari berada di kedudukan 18⁰ di bawah ufuk. Ia berbeza dengan waktu yg diguna pakai sebelum ini iaitu pada sudut matahari 20⁰. Jadi ia perlu dilewatkan.

S2: Kenapa lewat 8 minit?

J2: Sudut matahari pada fajar sadiq diubah dari 20⁰ ke 18⁰. 20⁰-18⁰ = 2⁰. 1⁰ mewakili 4 minit. Oleh kerana beza 2⁰, perbezaan waktu ialah 8 minit.

S3: Kenapa Selangor sahaja yang ubah?

J3: Ia akan dilakukan oleh negeri lain bila tiba masanya.

Sedikit latar belakang; Hasil kajian telah dibentangkan di Jawatankuasa Penyelidikan Fatwa Jakim.

Laporan kajian ini diterima sebulat suara oleh jawatankuasa tersebut. Peringkat seterusnya, laporan akhir kajian ini dibentangkan di Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam (MKI) pada 20.11.2019 lalu.

Laporan kajian yg dibentangkan di peringkat MKI dipersembah maklum kepada DYMM Sultan atau Raja negeri masing-masing.

Justeru, pihak negeri dengan kuasa undang-undang yang ada berhak mengumumkan keputusan berkenaan di peringkat negeri masing-masing.

Selangor telah membuat pemakluman lebih awal dari negeri lain iaitu pada 28.11.2019 dan mengumumkan tarikh kuat kuasa pada keesokannya iaitu pada 29.11.2019

S4. Adakah solat Subuh selama ini yang awal 8 minit dari waktu baru tidak sah?

J4: Tidak timbul soalan itu kerana solat Subuh selama ini berdasarkan kepada ijtihad dan ilmu yang sah dan dilegalized secara rasmi melalui jabatan mufti negeri.

Waktu solat walaupun hadnya adalah sabit secara qatie, penentuan dan perinciannya adalah zanni dan tertakluk kepada ijtihad semasa berdasarkan penyelidikan/ istiqra’.

Adalah tersangat sukar dan agak mustahil mewujudkan taqwim solat yg betul-betul mengikut waktu yang sangat tepat hingga ke arka saat pada setiap lokasi.

Waktu dalam taqwim pun sudah dimasukkan tempoh ihtiyat/ berwaspada. Lagipun jika solat berjemaah Subuh di masjid atau surau, persoalan ini tidak timbul kerana biasanya ada tempoh menunggu yang agak senggang iaitu dari 10-15 minit selepas azan dilaungkan, barulah solat Subuh didirikan.

S5: Selangor telah umumkan waktu subuh 8 minit lebih lewat, jadi bagaimana dengan negeri-negeri lain, terutamanya Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan lain lain yg bersempadan Selangor?

J5: Setiap penduduk negeri perlu patuh kepada arahan Ulul Amri negeri masing-masing. Ulul Amri negeri ialah Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Raja bagi negeri beraja dan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri bagi negeri tidak beraja.

Jika Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hendaklah mengikut Yang Dipertuan Agong. Selagi tiada arahan baharu dikeluarkan, waktu sedia ada adalah sah diikuti kerana urusan agama ditentukan oleh pihak Ulul Amri, rakyat hanya ikut dan taat setia.

S6: Adakah ia melibatkan waktu solat lain dan waktu syuruk?

J6: Tidak. Waktu lain tidak terlibat kerana keputusan ini khusus melibatkan solat subuh sahaja. Cuma bagi waktu imsak, ia juga dilewatkan iaitu 10 minit sebelum bermula Subuh. Waktu syuruk iaitu waktu berakhirnya subuh/ terbit matahari kekal sebagaimana yang ada dalam taqwim solat. – Sinar Harian

 

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *