Home » Langit Terbuka » Peranan MKI diperkasa untuk bantu realisasi wawasan kemakmuran bersama

Peranan MKI diperkasa untuk bantu realisasi wawasan kemakmuran bersama

Mesyuarat MKI kelazimannya dihadiri oleh kepimpinan kanan negara, mufti, golongan alim ulama profesional dan pegawai pegawai kanan JAKIM. - Foto JAKIM

PUTRAJAYA – Fungsi dan peranan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) perlu diperkasakan bagi bersama-sama bergerak merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid yang juga Timbalan Pengerusi MKI berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu membina kekuatan dengan memastikan pentadbiran yang saksama dan berkesan agar kemakmuran dan kemajuan yang ingin dicapai setara dengan negara maju tanpa menggadai maruah dan perpaduan rakyat dan negara.

“Malaysia perlu dikenali bukan hanya sebuah negara yang makmur dari segi ekonomi dan pembangunan, bahkan perlu diteladani sebagai sebuah negara yang beridentitikan kepelbagaian agama, bangsa dan budaya yang dapat hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni,” katanya dalam sembah ucapan pada Majlis Titah Diraja sempena Sambutan Jubli Emas MKI di sini hari ini (7 November).

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada majlis itu.

Dalam menyahut Wawasan Kemakmuran Bersama, umat Islam perlu beriltizam menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan, katanya.

“Iltizam ini akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa,” katanya.

Mengenai sambutan Jubli Emas MKI bagi memperingati sejarah penubuhan MKI pada 1 Julai 1969, Mujahid berkata platform MKI adalah manifestasi kejayaan kerajaan terhadap usaha-usaha memperkukuhkan pengurusan pentadbiran Islam di Malaysia.

Menurutnya, MKI menjadi pemangkin terhadap struktur pemerintahan yang lebih kukuh dengan wujudnya pelbagai inisiatif berkaitan pengurusan hal ehwal Islam meliputi bidang kewangan Islam, perundangan syariah, pendidikan Islam, penyiaran Islam, pengurusan halal dan pengurusan haji.- Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *