IPOH – Pasukan Cuci Cuci Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini (6 Oktober) memulakan aktiviti badan ini di Festival Ummatic 2.0 di sini.
Bermula jam 8.30 pagi, seramai 12 anggota Sukarelawan Al Rahmah (SAR) YADIM bergerak ke Surau Al Ittihadiah di Meru di sini untuk memulakan program khidmat bakti mereka.
Bahagian luar dan dalam surau tersebut telah dibersihkan oleh anggota SAR dengan kerjasama ahli jawatankuasa surau berkenaan.
Di tapak festival iaitu di Masjid Muhammad Al Fateh, gerai YADIM terus mengadakan kuiz membaca dan mengeja Jawi yang menawarkan hadiah menarik kepada peserta, khususnya kanak kanak.
Pada masa yang sama, jualan buku di gerai YADIM juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung festival.
Selepas waktu Zohor pula, diadakan sesi Dad’s/Men’s Teh Tarik di dalam masjid, dengan kerjasama Majlis Perundingan Wanita Rahmah . Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud telah diundang sebagai penceramah.
Beliau membicarakan tentang sifat sifat kepimpinan seorang ketua keluarga.
Pada sebelah petang pula, sama seperti hari sebelumnya, SAR YADIM sekali lagi keluar menziarahi rumah rumah penduduk yang terpilih di sekitar Masjid Muhammad Al Fateh.
Seramai 15 keluarga yang kurang berkemampuan ini telah disantuni dan mereka menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian.
Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin pula selepas solat Maghrib telah menyampaikan kuliah bertajuk ‘Iktibar Dakwah Perjuangan Muhammad Al Fateh’.
Sementara itu, hari terakhir festival ini menyaksikan ianya terus mendapat kunjungan ramai. Antara aktiviti yang diadakan ialah seperti pertandingan street soccer, khidmat menggunting rambut, acara menunggang kuda, ceramah fesyen Muslimah selain gerai gerai jualan.
Beberapa agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Pilihanraya turut membuka gerai masing masing dan menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pengunjung yang memerlukan.
KOMEN