ROYAL BELUM – Seramai 200 orang Asli di empat kawasan perkampungan Orang Asli di sini bakal menerima manfaat menerusi program YADIM Peduli: Ziarah Rahmah yang akan diadakan selama dua hari bermula 21 September.
Program ini juga bakal menerima sentuhan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf yang turut turun padang menyantuni komuniti Orang Asli tersebut.
Empat kawasan tersebut ialah Kampung Chiong, Kampung Carok Bus, Kampung Tebang dan Kampung Chuweh.
Hadir sama kelak ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, pengurusan kanan YADIM serta wakil dari kerajaan negeri Perak.
Program tiga hari dua malam ini mendapat kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Agama Islam Perak, Biro Kebajikan Masyarakat Lenggong Perak, Jabatan Kemajuan Orang Asli Perak, Pejabat Menteri Besar Perak dan Polis Diraja Malaysia.
Antara pengisian aktiviti ialah sesi tazkirah oleh Yang Berhormat Menteri dan Yang Dipertua YADIM, ziarah rahmah, penyampaian barang keperluan, penyampaian kit solat jenazah, bicara santai dan perlawanan bola sepak persahabatan.
Sebelum Royal Belum, YADIM juga pernah mengadakan kunjungan rahmah ke komuniti Orang Asli di Gerik, Perak dan Muadzam Shah Pahang bagi menyantuni mereka.
KOMEN