KUALA LUMPUR – Perbezaan keturunan, warna kulit dan agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membenci, bermusuh dan berbalah sesama manusia.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, kelainan sebegitu adalah lumrah dan merupakan hikmah serta keagungan Allah SWT.
Menurutnya, Allah SWT juga berpesan kepada umat Islam supaya melayani seluruh manusia dengan layanan kasih sayang tanpa mengira perbezaan etnik, agama, warna kulit dan aliran pemikiran.
“Islam sebagai agama rahmat dan kasih sayang mewajibkan umatnya memelihara kehormatan insan dan kemuliaan mereka tanpa membezakan keturunan, agama dan mazhab.
“Alangkah indahnya ajaran-ajaran agama ALLAH ini namun umatnya sering gagal menterjemahkan keindahan ini dalam kelakuan dan realiti hidup mereka,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, Islam juga menyeru umatnya supaya bersatu padu, menggalakkan kerjasama dan saling membantu dalam perkara-perkara yang baik untuk kepentingan bersama.
“Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW menyifatkan masyarakat Islam sebagai jasad yang satu, di mana setiap anggotanya menguatkan anggota-anggota yang lain.
“Namun perlu diketahui bahawa Islam juga tidak melarang seorang Muslim melayan baik orang bukan Islam (Surah al-Muntahanah:8) malah di sudut ini Islam tidak membezakan antara orang Islam dan orang bukan Islam dengan pelbagai jenis dan golongannya,” katanya.
Wan Salim berkata, Islam tidak mengizinkan pengikutnya melayan mana-mana makhluk dengan layanan yang buruk dan zalim terhadap burung dan haiwan sekalipun, apatah lagi manusia sama ada Muslim atau bukan Muslim.
“Dilaporkan di dalam sebuah hadis bahawa ALLAH mengampunkan dosa seorang pelacur semata-mata kerana dia memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan.
“Islam tidak mengizinkan umatnya bertindak ganas, membunuh orang-orang yang tidak bersalah, menumpahkan darah secara tidak sah dan melakukan keganasan dan kekejaman.
“Sebaliknya Islam mengurniakan kepada setiap insan hak-hak untuk hidup dengan segala kehormatan dan kemuliaan selaku insan tanpa kecuali dan tanpa perbezaan,” katanya. – Sinar Harian
KOMEN