KUALA LUMPUR – Kesemua individu terlibat yang mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW serta muatnaik rakaman video mengaibkan dengan niat untuk mencetus rusuhan antara kaum ditahan di empat lokasi berasingan sekitar Lembah Klang dan Seremban.
Sebanyak empat individu termasuk seorang wanita terbabit dalam kes berkenaan dan kesemua mereka ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sejurus identiti mereka dikenal pasti hasil siasatan sejak Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tangkapan pertama pihaknya menahan pemilik akaun Facebook (FB) yang menggunakan nama Zahrein Zakariah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 2.45 petang kelmarin.
Siasatan mendapati Zahrein Zakariah pada 9 Julai telah mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad.
“Tangkapan ke atas seorang lelaki ini telah dijalankan pada 11 September pada pukul 2.45 petang di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya dalam satu kenyataan.
Huzir memberitahu, pihaknya turut merampas peralatan digital telekomunikasi yang digunakan untuk memuat naik kenyataannya ke laman sosial Facebook.
Tambahnya, polis kemudian menahan seorang lelaki yang menggunakan nama Ramar Nara dalam akaun FBnya sejurus mengeluarkan kenyataan menghina kaum Melayu pada 16 Ogos lalu.
“Lelaki ini ditahan pada pukul 5 petang kelmarin di Pelabuhan Klang, Selangor, dengan beberapa peralatan telekomunikasi dan digital digunakannya untuk membuat kenyataan itu turut dirampas untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Jelas Huzir, seorang wanita turut ditahan kerana mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW melalui akaun Facebooknya dengan menggunakan nama Ain Zafirah atau Nia Fira.
“Selepas siasatan dilakukan pada 8 September maka tangkapan dilakukan di Seremban 3, Negeri Sembilan pada 11 September pukul 4.30 petang dan peralatan digital yang digunakan juga dirampas,” tambahnya.
Mengulas lanjut, Huzir berkata, penahanan berikutnya membabitkan seorang lelaki dikenali sebagai Arunakiri yang memuat naik sebuah video di laman Youtube pada 9 September lalu dan dia ditahan di Kelana Jaya semalam.
“Kesemua tangkapan ini adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) yang membantu mengesan pemilik akaun laman sosial berkaitan.
“Ketika ini kesemua individu terbabit sedang direman selama dua hingga tiga hari untuk siasatan lanjut mulai hari ini hingga 14 September manakala bagi kes Arunakiri pula suspek telah direman selama dua hari sahaja,”ujarnya.
Sementara itu, tegas Huzir, pihaknya menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau berkongsi perkara yang menyentuh sensitiviti agama, perkauman dan Institusi diRaja di mana-mana laman sosial. – Utusan Malaysia
KOMEN