PHNOM PENH – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan umat Islam untuk mengikis sikap, yang hanya mahu bergantung kepada bantuan dan pertolongan pihak lain.
Beliau berkata, umat Islam seharusnya menyemai amalan rajin, beramanah dan cekap, untuk memperkukuhkan taraf sosial ekonomi dalam kalangan umat Islam.
“Kita amat sedih kerana di mana-mana sahaja, kita dapati terdapat orang Islam dibelenggu kemiskinan dan berharap kepada pertolongan orang lain. Kenapa? Kerana mereka tidak berusaha.
“Kita tahu apabila kita berniaga dan memililiki pekerjaan, kita tidak perlu bergantung kepada bantuan orang lain.
“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya… kita memiliki kepandaian dan kemahiran, tetapi kita tidak memanfaatkannya. Itulah kita perlu kembali kepada asas ajaran Islam,” katanya di majlis pertemuan bersama komuniti Islam Kemboja di hotel penginapannya di sini.
Pada majlis yang sama, Dr. Mahathir turut dianugerahkan Tokoh Kepemimpinan Islam oleh komuniti Islam Kemboja, bagi mengiktiraf peranan aktif Malaysia dalam membantu masyarakat itu.
Terdahulu, Dr. Mahathir turut menerima kunjungan hormat Menteri Tugas Tugas Khas, bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kebajikan masyarakat Islam di Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan.
Dr. Mahathir memulakan lawatan rasmi selama tiga hari bermula hari ini, atas jemputan rakan sejawatannya, Hun Sen.
Sementara itu, Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah turut menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Kemboja, di hotel yang sama.
Hampir 300 rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di sekitar Phnom Penh, hadir pada majlis makan malam itu. – Bernama
KOMEN