Home » Langit Terbuka » Khat, tulisan jawi adalah seni, bukan agama

Khat, tulisan jawi adalah seni, bukan agama

Timbalan Perdana Menteri mengambil maklum keresahan masyarakat dalam isu tulisan khat dan jawi, serta akan berbincang dengan Perdana Menteri mengenainya. - Foto SelangorKini

PUTRAJAYA – Khat dan tulisan Jawi adalah seni yang tidak mempunyai kaitan dengan aspek keagamaan, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun mengambil maklum keresahan sesetengah pihak terutama masyarakat Tionghua berhubung keputusan kerajaan memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat menjelang tahun depan.

“Memang saya ambil maklum dan akan bincang secara mendalam dengan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) walaupun beliau sudah keluarkan kenyataan.

“Kita ambil maklum keresahan masyarakat Tionghua dalam isu ini tetapi ini (khat dan tulisan Jawi) adalah seni, bukan agama,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pertandingan Video Kreatif ‘Hentikan!Stop It!’ dan Soal Selidik Mengenai Gangguan Seksual di sini, hari ini (5 Ogos).

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak pernah menghalang kaum lain mengamalkan penulisan bahasa ibunda masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa.

Sebelum ini, timbul bantahan pelaksanaan seni khat dan tulisan Jawi sebagai sebahagian subjek bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah jenis kebangsaan.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun depan. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *