MEKAH – Sebanyak $14,000 Riyal Saudi (RM15,117) berjaya dikutip dari para petugas Tabung Haji tahun ini bagi digunakan untuk agihan makanan kepada jemaah haji miskin ketika Hari Wukuf.
Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, jumlah kutipan itu akan digunakan untuk memberi makan malam selama dua malam kepada kira-kira 1,500 jemaah tanpa mengira dari negara mana.
Beliau berkata, program dikenali Infaq Sabeel Rahmatan AlAmin (ISRA) itu diperkenalkan tahun lepas dengan sasaran membantu jemaah dari negara-negara yang tidak mendapat bekalan makanan.
“Makanan itu akan diagihkan oleh petugas melalui sebuah lori yang akan ditempatkan di laluan jemaah yang dikenalpasti dari negara-negara tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan petugas Tabung Haji di sini.
Mengenai prestasi petugas, Syed Saleh berkata, mereka masih dalam keadaan bersemangat tinggi walaupun telah berada di Tanah Suci antara tiga dan empat minggu.
“Dengan keadaan cuaca yang panas, bekerja 24 jam setiap hari tanpa hari cuti sejak berada di sini, para petugas masih bersemangat untuk meneruskan komitmen memberi khidmat terbaik kepada jemaah terutama menjelang Hari Wukuf,” tambahnya. – Utusan Malaysia
KOMEN