Home » Langit Terbuka » Kes cerai di Selangor berkurang sejak 2016

Kes cerai di Selangor berkurang sejak 2016

Penurunan kes perceraian di Selangor antara lain, disebabkan oleh beberapa inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor dan JAKESS bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan di negeri berkenaan. - Foto Sarawakvoice

SHAH ALAM – Kadar perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Selangor menunjukkan trend penurunan sejak tiga tahun lepas, kata Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor, Mohammad Adib Husain.

Beliau berkata bagi tempoh tersebut, rekod Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) menunjukkan 11,860 permohonan cerai difailkan tahun lepas berbanding 12,203 kes pada 2017 dan 12,513 kes (2016).

Mohammad Adib percaya penurunan ini, antara lain, disebabkan oleh beberapa inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan JAKESS bagi mengukuhkan institusi kekeluargaan di negeri berkenaan.

“Antara inisiatifnya adalah seperti kursus pasca perkahwinan, seminar kefahaman undang-undang syariah, kaunter runding cara dan kaunter bahagian sokongan keluarga JAKESS yang dibuka pada tarikh yang ditetapkan melalui hebahan kepada pelanggan Mahkamah Syariah ini,” katanya kepada Bernama, di sini.

Menurut beliau, sebagai sebuah negeri maju, ramai umat Islam dari negeri lain atau dari negara luar berhijrah ke Selangor untuk mencari rezeki menyebabkan mana-mana pasangan yang bermasalah lebih cenderung untuk memfailkan permohonan perceraian mereka di sini.

“Walaupun bilangan permohonan perceraian di Selangor menunjukkan trend penurunan, namun jumlahnya diakui masih tinggi berbanding negeri-negeri lain dan antara puncanya adalah disebabkan faktor kepadatan penduduk,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan rekod jabatan, antara faktor yang mendorong perceraian pasangan Islam adalah kurangnya penghayatan agama; tiada persefahaman; masalah kewangan, curang; campur tangan keluarga dan keganasan rumah tangga, selain pengaruh media sosial.

Beliau berkata, disebabkan permohonan perceraian dilihat menurun saban tahun, JAKESS terus berusaha menyelesaikan kes-kes tersebut sama ada secara prosiding mahkamah biasa ataupun melibatkan proses kerja ‘fast track’ bagi memudahkan individu terbabit untuk memulakan hidup baharu.

Kata Mohammad Adib, berdasarkan rekod jabatan itu, sebanyak 8,022 kes permohonan perceraian berjaya diselesaikan menerusi proses kerja ‘fast track’ pada tahun 2016 hingga 2018 iaitu 3,519 kes bagi 2016; 2,238 kes (2017) dan 2,265 kes pada tahun lepas.

“Bagi tahun ini bermula Januari sehingga Jun lepas pula, sebanyak 7,013 permohonan cerai difailkan dengan 1,279 kes telah diselesaikan secara fast track,” katanya.

Tegas beliau, walaupun ada pihak membangkitkan konsep perceraian ‘fast track’ antara punca jumlah kes cerai tinggi di Selangor, perlu difahami bahawa ia tidak dilakukan sewenang-wenangnya dan hanya diguna pakai sekiranya mahkamah berpuas hati wujudnya pecah belah atau ‘shiqaq’ dalam permohonan cerai mana-mana pasangan.

Selain itu, permohonan pasangan terbabit juga mesti menepati beberapa syarat ditetapkan iaitu penyediaan dokumen yang lengkap; suami dan isteri hadir ke mahkamah; wujud persetujuan antara suami dan isteri untuk bercerai secara baik serta harmoni; dan isteri dalam keadaan suci dan tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh suci tersebut, jelas Mohammad Adib.

Proses kerja kes cerai ‘fast track’ yang diperkenalkan JAKESS pada tahun 2015 itu bertujuan untuk mengurangkan lambakan kes tertangguh di jabatan berkenaan dengan menyelesaikan permohonan cerai yang menepati syarat ditetapkan dalam masa enam jam.

Dalam pada itu, Mohammad Adib memberitahu selain proses kerja ‘fast track’, kes perceraian yang melibatkan prosiding perbicaraan di mahkamah masih dilaksanakan seperti biasa membabitkan kes tuntutan fasakh, cerai taklik, khuluk (tebus talak) serta tuntutan perceraian dan pengesahan cerai taklik.

“Bagi kes-kes permohonan perceraian yang tidak melalui proses kerja ‘fast track’, sebanyak 24,322 kes bagi tempoh 2017 hingga Jun tahun ini berjaya diselesaikan dan selebihnya masih menjalani prosiding mahkamah,” katanya.

Tambah beliau, antara usaha yang dilakukan jabatan berkenaan bagi mempercepatkan pengurusan kes-kes tersebut termasuklah memperkenalkan pelaksanaan hakam dalam permohonan cerai melalui Kaedah-kaedah Hakam (Negeri Selangor) 2014 selain menjalankan perbicaraan pada waktu malam. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *