KARAK – Pasukan Sukarelawan Al Rahmah (SAR) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terus mendapat perhatian masyarakat.
Ia terbukti apabila pada 12 Julai, SAR bagi Parlimen Bentong, Pahang dilancarkan dalam satu majlis di Surau Al Irsyad, Rumah Murah, Kampung Teroh, di sini oleh Ketua Pegawai Operasi YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Tuan Kamarul Arief telah menyampaikan watikah dan memakaikan ves SAR sebagai simbolik pelancaran kepada ketua pasukan berkenaan, Syamsul Bahari Husin. Hampir 50 sukarelawan SAR dari sekitar Bentong seperti dari Ketari, Bilut, Sabai dan Pelangai turut menghadiri majlis ini, selain ahli jawatankuasa penduduk Kampung Teroh.
Dalam ucapan pelancarannya, Tuan Kamarul Arief berkata, SAR adalah sebuah platform bagi menjalankan kerja-kerja dakwah dan khidmat kebajikan komuniti ahli ahlinya.
Justeru tambah beliau, ahli ahlinya diseru sentiasa bersatu dan mengelakkan perbalahan, sebaliknya perlu terus fokus menjalankan kerja kerja dakwah dan menyampaikan mesej rahmah yang dibawa Islam kepada masyarakat.
Pelancaran pasukan SAR ke 45 ditubuhkan itu, turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Sektor Latihan dan Pengkaderan YADIM, Kapten (B) Shamsuddin Moner dan Pengarah Bahagian Khidmat Bakti (Sukarelawan YADIM), En. Shahrizal Mat.
Sesi taklimat Sukarelawan telah disampaikan oleh Penolong Pengarah di Bahagian Khidmat Bakti (Sukarelawan YADIM), Abdul Qaiyum Aris yang turut dibantu oleh kakitangan YADIM yang lain.
Sebelum Bentong, SAR Klang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah dilancarkan pada 6 Julai lalu.
Sementara itu, sebelum majlis pelancaran bermula, pasukan Cuci Cuci YADIM telah melaksanakan tugas khidmat bakti mereka di surau berkenaan bermula dari jam 4 petang.
Selain membersihkan kawasan dalam dan luar surau termasuk tandas, anggota pasukan Cuci Cuci turut bergotong royong bersama masyarakat setempat menyiapkan titi menyeberangi parit untuk keselesaan jemaah ke surau tersebut.
Majlis pelancaran SAR Bentong diakhiri dengan jamuan bersama penduduk kampung selepas solat Isyak berjemaah.
KOMEN