Pepatah Arab ada menyatakan “hampir-hampir seorang guru itu menjadi Rasul”. Sifat seorang guru yang menyampaikan ilmu seperti peranan para Rasul menyebabkan mereka diangkat sedemikian rupa. Berapa ramai guru yang sibuk mendidik anak bangsa sehingga tidak sempat memberi perhatian kepada anak sendiri? Guru bersengkang mata, memerah keringat mendidik anak bangsa demi memikul amanah yang diberikan. Namun, sejauh manakah perkara itu dihargai oleh anak murid?
Penghargaan dan pengiktirafan bukanlah idaman para guru. Cukuplah sekadar senyuman dan tanda hormat anak murid kepada mereka. Hari ini, pelbagai isu berkaitan pemasalahan akhlak pelajar dapat kita lihat. Sebagai contoh, kenderaan guru dirosakkan, guru ditendang, ditumbuk, diugut malah sebahagian mereka sanggup mencederakan guru. Adakah ini akhlak dan balasan yang layak diberikan kepada seorang insan yang bernama guru?
Suka untuk penulis mengingatkan beberapa adab kita dengan guru. Hal ini kerana, guru umpama ibu dan ayah yang mendidik kita tanpa kenal erti jemu. Tanpa adab dan akhlak, ilmu yang kita tuntut tidak bermakna.
Perkara pertama yang perlu dijaga ialah percakapan kita. Seperti mana kita dilarang meninggikan suara terhadap ibu bapa begitu jugalah akhlak kita dengan guru. Jangan sesekali kita meninggikan suara dihadapan guru apatah lagi menengking dan mengherdik mereka. Sayu hati ini, apabila mendengar terdapat anak murid yang bertikam lidah dengan guru sehingga memaki hamun para guru. Dimanakah tanda hormat kita kepada insan mulia ini? Jika guru bertanya sesuatu maka jawablah dengan bahasa yang baik dan hikmah. Jawapan kita melalui percakapan menggambarkan sikap dan sifat yang ada dalam diri kita. Takut-takut suara kita yang tinggi menyebabkan guru terasa hati dan hilang keberkatan ilmu yang dipelajari.
Kedua jangan sesekali kita menyebarkan sesuatu yang tidak benar tentang guru. Zaman dunia dihujung jari ini menyebabkan semua perkara tersebar dengan pantas. Kadang-kadang tindakan murid yang menularkan video dan gambar para guru tanpa izin boleh menyebabkan fitnah terhadap guru tersebut.
Hal ini secara tidak langsung akan menjatuhkan kredibiliti seorang guru. Rasulullah bersabda: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Kita perlu ingat guru juga manusia yang mempunyai air muka dan perasaan. Video dan gambar yang mengundang fitnah dan komentar negatif masyakarat akhirnya menyebabkan guru berasa stress dan kemurungan. Perkara ini jika tidak dikawal boleh menyebabkan guru mengalami tekanan perasaan. Adakah berbaloi dengan segala pengorbanan seorang guru kita cemarkan dengan keaiban dan fitnah. Seolah-olah “air susu yang mereka beri air tuba yang kita balas”.
Ketiga, penuntut ilmu perlu menjaga hubungan baik dengan guru malah hubungan baik itu perlu diluaskan kepada ibu bapa. Hubungan baik ibu bapa dan guru akan mewujudkan kerjasama yang baik untuk meningkatkan prestasi anak murid. Sebab itu wujudkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Perkembangan pelajar dari segi akademik dan disiplin boleh dibincang bersama dengan hati yang terbuka.
Namun, perkara sebaliknya yang berlaku. Anak murid menjadi penghalang hubungan itu berlaku. Sebahagian mereka melaporkan sesuatu yang tidak betul kepada ibu bapa sehingga pergaduhan antara ibu bapa dan guru. Sabda nabi SAW “Cukuplah pembohongan seseorang itu apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (Hadis riwayat Muslim). Perkara yang kecil mula dibesarkan supaya ibu bapa membenci guru dan akhirnya mengambil tindakan terhadap guru tanpa usul periksa. Ibu bapa perlu meneliti sebarang berita daripada anak terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Perkara ini sudah dijelaskan Allah dalam Al-quran. Firmannya, “Wahai orang- orang yang beriman, jika ada seorang faasiq datang kepada kalian dengan membawa suatu berita penting, maka tabayyunlah (telitilah dulu), agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya pada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perlakuan kalian”. [al-Hujurât/49:6].
Ibu bapa sebagai individu yang matang dan berpengalaman perlulah bertindak dengan bijaksana dalam menyelesaikan masalah. Jika terdapat sesuatu isu mengenai anak-anak maka berbincanglah dengan pihak sekolah dengan baik. Jangan terlalu cepat melatah memuat naik ke media sosial sehingga menimbulkan perspektif negatif terhadap para guru. Perkara ini tidak akan menyelesaikan masalah malah akan membawa kepada perselisihan yang berpanjangan.
Setiap hari guru menabur budi terhadap anak murid dengan penuh kasih sayang. Adakah wajar ibu bapa memalukan guru di media sosial atas satu kekhilafan yang dilakukan?
Kesimpulannya, menuntut ilmu merupakan amalan yang mulia. Amalan yang mulia ini akan tercemar dengan akhlak penuntut yang buruk. Maka jadilah kita penuntut yang benar-benar berakhlak kerana islam sangat mementingkan aspek akhlak dalam menuntut ilmu. Ketika Imam Malik ingin menuntut ilmu ibunya pernah berpesan,“Pelajarilah adabnya sebelum engkau pelajari ilmunya!’. Pesanan ini juga buat kita sebagai penuntut ilmu. Perbaiki adab dan akhlak kita insyaAllah ilmu akan berkat.
Mohamad Zaiful Faizal Bin Mohamad Hasan
Pelatih Daie Muda YADIM 2019
KOMEN