Home » Langit Terbuka » Penyeragaman fatwa dan undang-undang syariah beri keadilan kepada semua pihak

Penyeragaman fatwa dan undang-undang syariah beri keadilan kepada semua pihak

Penyeragaman undang undang Syariah memberi keadilan kepada semua, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri. - Foto MalaysiaDateline

KUALA LUMPUR – Penyeragaman fatwa serta undang-undang syariah perlu bagi memperkasakan undang-undang syariah agar ia dapat memberikan keadilan dan rahmat kepada semua pihak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Perkara itu selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengesyorkan supaya wujud penyelarasan fatwa berhubung isu-isu kepentingan nasional agar dapat diterima pakai di peringkat negeri masing-masing selepas ia diputuskan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan telah diambil maklum oleh Majlis Raja-Raja.

“Titah Yang di-Pertuan Agong selari dengan hasrat kerajaan yang kini dalam usaha menyeragam undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah di semua negeri seluruh Malaysia agar ia dapat dijadikan panduan dan asas kepada negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mujahid turut menjunjung titah Sultan Abdullah yang mahukan pemerkasaan mahkamah syariah dilakukan secara holistik.

Katanya ia selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasa mahkamah syariah melalui kajian penambahbaikan undang-undang sedia ada, serta mengelak pertembungan antara undang-undang sivil dan syariah, meningkatkan prasarana mahkamah dan kemahiran hakim syariah dalam mengendalikan kes. – Bernama

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *