WASHINGTON – Mesir, Jordan dan Maghribi telah memaklumkan Amerika Syarikat (AS) bahawa mereka akan menghadiri satu persidangan damai Timur Tengah yang dirancang berlangsung pada akhir bulan ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan seorang pegawai Rumah Putih yang mengesahkan perkara itu pada Selasa.
Pentadbiran Trump dijangka membentangkan bahagian ekonomi dalam pelan damai Palestin, semasa persidangan tersebut berlangsung dari 25 hingga 26 Jun di Bahrain itu.
Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu telah mengesahkan kehadiran mereka, begitu juga dengan Qatar, yang terlibat dalam persaingan serantau dengan negara jiran Teluknya sejak 2017.
Sementara itu, para pegawai Palestin telah menolak persidangan itu dan mendakwa bahawa beberapa siri tindakan yang diambil oleh Presiden Donald Trump, termasuk pengiktirafan beliau terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, telah memperlihatkan sikap berat sebelah AS yang memihak kepada Israel.
Tidak jelas apakah tahap penglibatan yang dirancang oleh Mesir, Jordan dan Maghribi dalam persidangan di Manama itu.
Bahrain bagaimanapun mempertahan penganjuran persidangan itu dan menyifatkannya sebagai satu percubaan untuk “memperkasakan” rakyat Palestin. – Anadolu
KOMEN