KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, budaya meraikan hari kebesaran agama dan amalan kunjung-mengunjung boleh menjadi jambatan perpaduan yang utuh kepada rakyat Malaysia.
Seri Paduka bertitah, sesuai dengan rakyat negara ini yang berbilang bangsa dan agama, kedatangan Hari Raya Aidilfitri wajar disambut dengan penuh kegembiraan oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Pada hari yang penuh keberkatan ini, Beta ingin mengajak seluruh rakyat untuk menghargai keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang kita nikmati hari ini.
Tanamkanlah semangat perpaduan yang utuh dan hindarilah daripada sebarang perkara yang boleh menggugat kemakmuran negara yang kita cintai ini,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka bertitah demikian dalam Titah Diraja sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2019 bersamaan 1440 Hijrah.
Seri Paduka juga bertitah, ketika semua bergembira, jangan melupakan pengorbanan dan jasa-jasa mereka yang telah meninggalkan sebuah negara yang aman lagi makmur untuk diwarisi serta dinikmati oleh rakyat pada hari ini.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh-roh mereka yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita.
“Beta juga amat menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa bertugas pada hari yang mulia ini, khususnya kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta semua anggota agensi kerajaan yang bertugas demi menjaga keamanan dan kemakmuran negara kita,” titah Seri Paduka.
Yang di-Pertuan Agong juga berpesan, kepada yang memandu pulang berhari raya ke kampung halaman, diingatkan mengutamakan keselamatan dan merancang perjalanan dengan teliti, memandu dengan cermat dan mematuhi undang-undang ditetapkan.
“Beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa agar semua rakyat selamat sampai ke destinasi yang dituju dan seterusnya meraikan hari raya bersama keluarga yang tersayang,” titah Seri Paduka.
Pada masa sama, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menzahirkan ucapan takziah dan doa di atas kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahandanya pada 22 Mei lalu.
“Ingatan serta kasih rakyat Malaysia yang dicurahkan telah sedikit sebanyak mengubat rasa duka beta sekeluarga,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah S.W.T dan terus kekal aman dan makmur serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang Beta kasihi. Maaf zahir dan batin,” titah Seri Paduka. – Utusan Malaysia
KOMEN