Home » Langit Terbuka » Syukuri nikmat Hari Raya

Syukuri nikmat Hari Raya

Perdana Menteri berkata, bersyukur dengan nikmat adalah sesuatu yang dituntut oleh agama Islam kepada umatnya dan sering berdoa meminta perlindungan daripada Allah S.W.T, supaya selamat, tidak berlaku malapetaka serta kesempurnaan hidup dan mati. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyeru supaya umat Islam di negara ini mensyukuri nikmat dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan gembira serta berjaya mengamalkan ibadat puasa tanpa sebarang gangguan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara tersebut tidak berlaku di mana-mana sahaja memandangkan ramai umat Islam tidak dapat berpuasa kerana keadaan di negara mereka tidak stabil dan terdedah kepada ancaman yang mungkin meragut nyawa mereka.

“Ramai daripada mereka kebuluran dan mungkin menghadapi maut sebaliknya kita di sini pada hari raya akan nikmati makanan dan juadah berlambak-lambak. Rezeki kita mungkin berlipat ganda, hampir tidak ada pun seorang kita yang tidak dapat rayakan Aidilfitri dengan sempurna,” katanya menerusi Perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019.

Tambah beliau, sementara memperoleh semua nikmat tersebut, rakyat harus ingat nikmat itu hanya terdapat kepada mereka kerana titik peluh orang asing yang bekerja untuk diri mereka.

“Merekalah yang menitik peluh berusaha supaya keperluan kita sampai kepada kita, termasuklah bekalan makanan. Tanpa mereka negara kita akan terus jadi negara miskin yang tidak dapat dibangunkan.

“Sesungguhnya nikmat yang banyak kita terima bukanlah hasil usaha kita, ia adalah hasil usaha orang lain, sama ada warga atau orang asing. Fikirlah, semasa kita bergembira dengan nasib baik kita, apakah tahap pembangunan negara kita jika tidak ada orang asing tetapi kita orang Islam sahaja yang tinggal di negara bertuah ini,” katanya.

Jelas Dr. Mahathir lagi, bersyukur dengan nikmat adalah sesuatu yang dituntut oleh agama Islam kepada umatnya dan sering berdoa meminta perlindungan daripada Allah S.W.T, supaya selamat, tidak berlaku malapetaka serta kesempurnaan hidup dan mati.

“Kita juga bersembahyang hajat memohon dari Allah S.W.T segala kebaikan, menukar nasib buruk kita kepada kesejahteraan tetapi kita harus ingat semasa kita berdoa dan bersembahyang hajat bahawa Allah tidak akan makbulkan permohonan kita melainkan kita sendiri berusaha terhadap memperbaiki nasib kita. Tanpa usaha dari kita tidak mungkin kita hidup selesa,” katanya.

Tambah beliau lagi, nasib orang Islam di negara ini amatlah baik kerana tanpa usaha mereka turut mendapat banyak nikmat.

“Kita merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan gembira, dengan senang lenang di negara bertuah ini. Buat suatu hari kita boleh lupakan segala yang kita rasai daripada ibadat puasa, kita rayakan sepanjang bulan Syawal, mungkin seterusnya tetapi kita akan rugi jika terus lupa pelajaran yang diperoleh pada bulan puasa.

“Pada hari Raya Aidilfitri, saya ingin memohon ampun dan maaf akan segala yang tidak baik yang telah saya dan isteri lakukan sepanjang tahun kepada sesiapa. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1440 Hijrah. Sekali lagi Maaf Zahir dan Batin kepada muslimin dan muslimat di Malaysia,” katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *