GEORGE TOWN – Semua pihak tidak seharusnya menyalahgunakan dasar kebebasan media yang diamalkan Pakatan Harapan untuk memainkan isu kaum atau agama yang boleh menimbulkan rasa kebencian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa.
Katanya pihak pembangkang khususnya harus menggunakan kebebasan media yang diberikan ini untuk mewujudkan persaingan yang sihat yang boleh membawa kerajaan membentuk dasar yang lebih baik untuk dinikmati oleh rakyat.
“Kebebasan mestilah kebebasan dengan tanggungjawab. Lawan saya dalam soal dasar … bukannya mengenai kaum atau agama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Iftar Jalanan yang diadakan di Jalan Buckingham di sini.
Mujahid juga berkata kebebasan media merupakan salah satu dasar yang diperjuangkan oleh kerajaan sewaktu mengambil alih pemerintahan negara tahun lepas.
“Kita tidak pernah menyekat media kerana kebebasan media merupakan komitmen kita,” katanya. – Bernama
KOMEN