Madrasah Ramadan merupakan medan rahmah yang sering dilupakan oleh masyarakat.
Rahmah secara mudahnya membawa maksud kasih sayang. Bulan Ramadan yang hadir setahun sekali ini membawa 1001 rahmah kepada seluruh alam. Sabda nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith “ Pada awal malam bulan Ramadan, syaitan dan jin jahat dibelenggu, pintu neraka ditutup, tidak ada satu pintu pun yang dibuka. Pintu Syurga dibuka [ dalam riwayat yang lain, pintu-pintu rahmah dibuka tidak ada satu pun yang ditutup. Kemudian Allah menyeru wahai penggemar kebaikan, ambil lah sebanyak mungkin, wahai penggemar keburukan tahanlah dirimu. Allahpun memberikan pembebasan api neraka bagi hamba-Nya. Dan itu terjadi setiap malam. (HR.Tirmizi 682, dishahihkan oleh Albani dalam Shahih At Tirmidzi)
Rahmah dalam bulan Ramadan ini dapat kita lihat dalam beberapa perkara. Antaranya rahmah dalam kalangan umat Islam, rahmah dalam kalangan bukan Islam, rahmah dalam jemaah masjid dan rahmah dalam politik. Dikesempatan yang ada ini mari bersama kita melihat konsep rahmah yang wujud dalam setiap aspek berikut hasil daripada madrasah Ramadan yang kita lalui bersama.
Pertama rahmah dalam kalangan umat Islam. Sedar atau tidak sehari sebelum Ramadan menjelma pelbagai mesej mahupun hantaran whatapps kita terima dengan ayat “ Bersempena Ramadan yang akan datang pada esok hari saya memohon maaf jika perlah melakukan kesilapan”.
Walaupun secara hakikatnya kita tahu pada esok hari perangainya masih tidak berubah, yang mengumpat masih mengumpat, yang dengki akan terus dengki namun dengan asbab penghulu segala bulan iaitu Ramadan maka bertebaranlah lafaz kemaafan diseluruh dunia sehari sebelum kehadirannya.
Perkara ini jelas menunjukkan rahmah itu berlaku dalam bulan Ramadan. Kasih sayang sesama umat Islam dizahirkan dengan kemaafan dan mendoakan agar dapat bertemu dengan Ramadan. Tidak cukup dengan itu ada juga yang bergaduh berpuluh-puluh tahun tetapi mula berbaik-baik dek kerana Ramadan. Maka benarlah kasih sayang Ramadan wujud dalam kalangan umat Islam.
Seterusnya Ramadan juga rahmah kepada bukan Islam. Perkara ini kita dapat lihat dengan wujudnya bazar Ramadan. Bazar Ramadan tidak khusus untuk orang Islam, malah di kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya bukan Islam, turut membeli juadah di bazar Ramadan. Ketika inilah sahabat-sahabat yang bukan Islam dapat mengenai juadah masyarakat Islam dan turut mengetahui budaya dan pengamalan umat Islam secara umumnya. Kesempatan ini tidak boleh kita sia-siakan, sebarkanlah kasih sayang kepada semua manusia walaupun bukan Islam.
Antara perkara yang boleh dilakukan ialah bertanya khabar dan berbual-bual sewaktu bertemu di bazar Ramadan. Hal ini demikian kerana, secara hakikatnya amat jarang masyarakat bukan Islam pergi ke pasar yang majoriti perniaganya Muslim namun pada bulan Ramadan sebaliknya yang berlaku, mereka yang bukan Islam turut berpesta makanan di bazar Ramadan. Amat rugilah jika umat Islam tidak menyebarkan rahmah yang ada pada bulan Ramadan ini kepada sahabat yang bukan beragama Islam.
Seterusnya, rahmah Ramadan di dalam masjid. Cuba kita kira jumlah masyarakat yang solat di masjid sebelum Ramadan dan semasa Ramadan. Sudah pasti bilangan masyarakat yang solat di masjid sewaktu Ramadan lebih ramai berbanding sebelumnya. Perkara yang menarik apabila golongan yang sering ke masjid tidak memandang sinis kepada orang lain malah semua orang beribadah dengan tekun seolah-olah mereka semua saling mengenali antara satu sama lain dan sering berjemaah bersama. Rahmah yang perlu ditunjukkan ialah meraikan masyarakat yang mula ingin berjinak dengan masjid dan memastikan hatinya terpaut dengan masjid selepas keluar daripada madrasah Ramadan. Jika perkara ini boleh kita lakukan sudah pasti pengimarahan masjid tidak hanya pada bulan Ramadhan semata. Maka teruskanlah menyebarkan kasih sayang kepada Jemaah yang hadir ke masjid.
Akhir sekali, rahmah Ramadan kita boleh lihat dalam politik. Sedar ataupun tidak tatkala datangnya Ramadan maka ketegangan politik juga turut reda dengan tiba-tiba. Hal ini berkat rahmah yang ada dalam bulan Ramadan malah yang lebih mengembirakan ahli-ahli politik yang berbeza fahaman dan ideologi boleh solat bersama di dalam satu masjid kerana Ramadan. Perkara ini amat baik dan perlu diteruskan pada bulan-bulan berikutnya. Politik itu sebahagian daripada agama Islam namun Islam tidak mengajar umatnya berlebih-lebih dalam politik sehingga menimbulkan fitnah atau membuka keaiban seseorang. Maka suasana politik dalam bulan Ramadan yang tenang perlu diteruskan pada masa-masa akan datang.
Kesimpulannya, banyak kebaikan berlaku dalam bulan Ramadan dengan asbab rahmah yang ada padanya. Bertepatan dengan landasan pemerintahan negara yang baharu untuk menyebar luaskan konsep Rahmatan Lil Alamin maka sudah pasti madrasah Ramadan inilah titik tolaknya. Segala kebaikan yang dilakukan pada bulan rahmah ini perlu diteruskan pada bulan-bulan berikutnya. Tarbiah Ramadan yang dilakukan perlulah mendatangkan hasil yang baik terutamanya untuk mendalami agama Islam yang syumul dan menyebarkannya keseluruh alam dengan konsep rahmah dan kasih sayang.
Mohamad Zaiful Faizal Bin Mohamad Hasan, Pelatih Dai’e Muda YADIM 2019
KOMEN