Home » Langit Terbuka » Marhaban Ya Ramadan dan Kempen Ramadan Tanpa Pembaziran

Marhaban Ya Ramadan dan Kempen Ramadan Tanpa Pembaziran

Marhaban Ya Ramadhan dilancarkan Jakim sempena kedatangan bulan mulia itu. - Foto Jakim

KUALA LUMPUR – Sempena ketibaan Ramadan tidak lama lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama beberapa agensi Islam persekutuan telah melancarkan Majlis Marhaban Ya Ramadan 1440H/2019M untuk menghayati dan meraikannya.

Majlis itu telah diadakan hari ini (29 April 2019) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan di sini, dan disempurnakan oleh Menteri di di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Antara agensi yang terlibat termasuklah, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Tv Al Hijrah, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Tabung Haji serta Jabatan Wakaf Zakat dan Haji. Polis Diraja Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Jabatan Penerangan dan beberapa agensi lain turut melibatkan diri.

Menurut kenyataan Ketua Pengarah Jakim, Yang Berbahagia Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, Ramadan merupakan bulan kerahmatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam yang mempunyai keberkatan dan pahala berganda bagi setiap kebaikan yang dilakukan.

Tambahnya, Kempen Ramadan Tanpa Pembaziran turut dilancarkan serentak hari ini, serta dijadikan tema program. Jelasnya, tema ini adalah penting untuk dihayati supaya umat Islam khususnya dapat menguruskan sumber secara berhemah di bulan Ramadan agar tidak berlaku pembaziran terutamanya nya dalam aspek pemakanan.

Usaha ini bertepatan dengan Maqasid Syariah yang menuntut supaya harta diurus dengan baik, jelas Mohamad Nordin

“Mengelakkan pembaziran khususnya di bulan Ramadan adalah amat siginifikan bagi mengurangkan bahan-bahan terbuang ke arah menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar yang merupakan tuntutan dalam Islam,”.

“Ini bertepatan dengan matlamat berpuasa di bulan Ramadan iaitu bagi mencapai nilai taqwa di sisi Ilahi. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :-

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelummu agar kamu bertakwa,”.

“Konsep takwa harus diterjemahkan dalam setiap perbuatan umat Islam termasuk mengelakkan daripada sifat mazmumah termasuklah amalan pembaziran, “kata beliau.

Justeru itu jelas Mohamad Nordin, usaha dakwah untuk memberi kefahaman dan pendidikan kepada seluruh umat perlu diperkasakan lagi ke arah pembentukan khaira ummah.

Mesej berterusan, ujar beliau perlu disampaikan kepada umat Islam tentang perlunya penghayatan Ramadan sebagai bulan untuk meningkatkan ketakwaan di samping tidak melakukan kecuaian.

Katanya lagi, Jakim berharap dengan penganjuran program ini dapat menzahirkan rasa takzim dengan kehadiran Ramadan yang diberkati dan dirahmati.

Tambahnya, ia juga untuk mendapatkan keredhaan dan keampunan Allah SWT seterusnya memastikan semua masyarakat mendapat seruan dakwah dan ilmu yang bermanfaat berkaitan dengan hal ehwal keagamaan secara praktikal dan berkesan.

Dalam pada itu, seramai 1,500 orang peserta menghadiri pelancaran program berkenaan yang terdiri daripada wakil agensi di bawah Yang Berhormat Menteri, Kementerian dan Jabatan, badan bukan kerajaan dan orang ramai.

Antara pengisian program termasuklah Ceramah Penghayatan Ramadan (Hindari Pembaziran), Kempen Hindari Pembaziran melalui pengedaran pelekat dan brosur, pameran, penyampaian sumbangan kepada masjid dan Surau Jumaat Wilayah Persekutuan dan lain-lain lagi.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *