Home » Langit Terbuka » Sasar letak 13,000 tabung derma seluruh negara

Sasar letak 13,000 tabung derma seluruh negara

Presiden MAPIM berkata (gambar), tabung kutipan di rumah sebagai galakan dan memudahkan orang ramai menderma bagi membantu projek kemanusiaan yang sedang dilaksanakannya di negara yang mempunyai warga tertindas. - Foto FB

KOTA BHARU – Ramai yang ada wang kecil berlebihan yang tidak digunakan, tetapi hanya meletakkannya di merata-rata tempat termasuk diselit celah kerusi.
Daripada hilang begitu sahaja, adalah lebih baik jika wang itu dimasukkan dalam satu tabung khusus di rumah sendiri sebelum disumbangkan kepada golongan memerlukan.

Perkara tersebut disarankan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan International Relief and Humanitarian Outreach (iReach) yang melancarkan kempen Tabung Kemanusiaan 1 Juta RM1 (1JTM).

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 13,000 tabung itu ditempatkan di di rumah-rumah di seluruh negara dengan sasaran 1,000 tabung bagi setiap negeri pada bulan Ramadan ini.

Mohd Azmi berkata, tabung kutipan di rumah sebagai galakan dan memudahkan orang ramai menderma bagi membantu projek kemanusiaan yang sedang dilaksanakannya di negara yang mempunyai warga tertindas atau menjadi mangsa kepada konflik serta bencana alam.

“Projek kemanusiaan yang kami jalankan termasuklah menyediakan bekalan khemah, pek makanan, pek kebersihan dan urus diri, pek perubatan, pam air bersih, bantuan iftar dan sahur Ramadan, pusat pendidikan sementara, surau dan masjid di kem pelarian serta pembinaan klinik dan tandas.

“Antara kawasan terlibat adalah kem pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh, kem mangsa perang di Yaman dan Palestin, mangsa bencana di Palu dan Lombok, Indonesia serta kebajikan penduduk miskin di negara kita sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah iReach, Johan Ariff Ismail.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya yakin dapat mencapai kutipan minimum RM1 juta sumbangan melalui kaedah ini lebih-lebih lagi bulan Ramadan adalah musim orang berlumba-lumba untuk bersedekah.

“Kewujudan tabung ini adalah sebagai saluran untuk bantuan kemanusiaan, kami sasarkan sumbangan awal yang kita kutip nanti dapat disampaikan untuk bantuan di Bangladesh dan Yaman menjelang Aidilfitri,” katanya

.

Jelasnya, orang ramai yang mahu memesan tabung dan mendaftar diri sebagai pemilik dan penggerak Tabung 1JTM boleh menghubungi urusetia di talian 013 955 3190 (Shahirah) atau 017 998 7782 (Nik).

Sumbangan juga boleh disalurkan ke akaun Mapim 110031001285 (Bank Rakyat). – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *