MAKKAH – Rakyat Malaysia yang terpilih sebagai tetamu Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz Al Saud memuji penganjuran program itu kerana mereka bukan sahaja berpeluang menunaikan ibadat umrah malah mengeratkan silaturahim sesama peserta dari seluruh dunia.
Program 10 hari itu, yang bermula pada 3 April lepas, disertai 225 jemaah dari 27 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, India, Bangladesh, China, Pakistan, Thailand, Bosnia dan Herzegovina, Kosovo, Croatia, Slovenia, Macedonia, Serbia, Albania, Montenegro, Korea Selatan, Hong Kong, Mauritania, Algeria, Mesir, Tunisia, Maghribi, Sudan, Maldives, Jordan dan Lubnan.
Peserta program itu, termasuk 11 jemaah Malaysia, terdiri daripada kalangan agamawan, wakil kerajaan, ahli akademik, pendakwah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara tujuan program tahunan kendalian Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi itu ialah menghimpunkan jemaah dari seluruh dunia untuk mereka saling bertukar pandangan tentang Islam dan mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.
Pengerusi dan Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Mustapha Ahmad Marican, berkata program itu berjaya merapatkan hubungan peserta dari pelbagai negara.
Beliau yang juga peserta program itu melahirkan penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana turut memilih jemaah Malaysia sebagai tetamu Raja Salman.
“Semoga acara seperti ini diteruskan dan lebih banyak lawatan diadakan pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama.
Selain mengerjakan umrah, jemaah dibawa melawat beberapa tempat bersejarah di Madinah termasuk Masjid Nabawi, Masjid Quba’, Jabal Uhud, Makam Syuhada’ Uhud, Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd dan Pusat Pameran Al-Quran Al-Karim.
Program lawatan ke tempat menarik di Makkah pula termasuk Pameran Pembangunan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Kilang Kelambu Kaabah serta pusat peranginan tanah tinggi Taif, yang terletak bersebelahan Kota Makkah.
“Program lawatan ke beberapa tempat bersejarah di Makkah, Madinah dan Taif memberi manfaat yang sangat bernilai kepada para peserta,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Pahang Datuk Badli Shah Alauddin.
Beliau berkata pemerhatian di tempat bersejarah yang dikunjungi jelas membuktikan kesungguhan serta komitmen kerajaan Arab Saudi dalam memelihara kota suci Makkah dan Madinah selain syiar Islam.
“Program ini benar-benar memberi pengalaman baharu kepada semua peserta dengan layanan tuan rumah yang sangat ramah dan mesra,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim berkata program ziarah tersebut berupaya merapatkan hubungan antara Arab Saudi dan negara Islam lain ke tahap lebih tinggi.
Beliau berkata program yang turut diisi dengan sesi perjumpaan bersama imam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta majlis ilmu bersama para ulama, merupakan usaha murni Raja Salman dalam menyatukan umat Islam dari pelbagai negara.
“Pertemuan para paserta dengan imam kedua-dua masjid suci ini (Masjidil Haram dan Masjid Nabawi) menggambarkan pengiktirafan kerajaan Arab Saudi terhadap peranan Imam.
“Mandat dan pengiktirafan ini sangat penting kerana ia memberi keyakinan dan sokongan padu terhadap peranan para imam… bukan hanya mengetuai solat berjemaah bahkan sebagai tokoh yang disegani,” kata timbalan mufti itu.- Bernama
KOMEN