PENAMPANG – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia boleh mencapai status negara maju pada tahun 2025 selepas sasaran awal yang sepatutnya dicapai pada tahun depan tidak mencapai aras yang ditetapkan.
Perdana Menteri berkata, sasaran baharu itu mampu dicapai sejajar peralihan kerajaan di peringkat Pusat dan negeri yang mengambil pelbagai langkah untuk memajukan negara dan negeri bagi mencapai status berkenaan.
“Kita ingin dihormati, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan semua bangsa dan kita sudah jadual tahun depan negara jadi maju tetapi kerana penyelewengan pemimpin (terdahulu) selama 15 tahun, kita tidak dapat capai aras negara maju.
“Tetapi saya yakin dengan peralihan kerajaan di Pusat dan negeri dapat dimajukan supaya pada tahun 2025 kita jadi negara maju, ini bukan untuk diri sendiri, tapi untuk bangsa dan negara,” katanya.
Dr Mahathir berkata, pendekatan kerajaan menolak rasuah dan pemimpin yang hanya memikirkan diri sendiri serta kuasa membolehkan negara dapat dibangunkan dengan lebih baik berbanding sebelum ini.
“Ketika saya menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, mudah untuk membangunkan negara, tetapi sekarang kita ada banyak masalah, tetapi InsyaAllah usaha yang kita buat sekarang berjaya pulihkan sokongan.
“Pada masa sama pentadbir negara kita akan dibersihkan supaya mereka yang terbabit rasuah diganti dengan orang lain, percayalah kita akan maju, perjuangan kita bukan untuk diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata, tiada ruang untuk sesiapa saja untuk mendapat kekayaan secara haram dan yakin tanpa mereka yang bersikap seperti itu negara akan lebih membangun dan rakyat mendapat nikmat lebih besar.
Katanya, kerajaan memberi perhatian peluang yang dapat meningkatkan keupayaan negara dan selain menegaskan Malaysia tidak kekurangan kebolehan dalam pelbagai bidang, namun harus digunakan dengan baik. – Berita Harian
KOMEN