PETALING JAYA – Dr Mahathir Mohamad menggesa umat Islam tidak hanya melihat sikap pengkritik, tetapi perlu mengkaji jika diri mereka menyumbang kepada persepsi Islamofobia masih berleluasa.
“Adakah kita berbuat sesuatu untuk mendapat nama itu?
“Jika kita mahu menjadikan Islam kurang dibenci, kita perlu cari apa salah yang kita sudah lakukan, walaupun kita ingin katakan kita tidak buat sebarang kesalahan,” katanya dalam wawancara bersama PTV World di Pakistan.
Perdana menteri yang dalam lawatan rasmi 3 hari ke Pakistan sejak Khamis lalu berkata, umat Islam perlu cuba memperbaiki kesilapan mereka dan menyokong tindakan baik mereka menerusi publisiti.
“Kita memerlukan orang yang bercakap secara munasabah dan mereka yang boleh beritahu (orang lain) apa itu Islam,” katanya ketika ditanya pengacara, Omar Khalid Butt mengenai cara menangani Islamofobia, sambil menambah Islam mengajar umatnya tidak bergaduh atau membunuh satu sama lain.
“Islam mengajar pengikutnya tidak terbabit dalam keganasan, tetapi kita tidak ikut ajaran itu.”
Mahathir berkata, umat Islam perlu menjelaskan agama Islam menerusi internet.
“Umat Islam sepatutnya boleh memberitahu kisah mereka supaya ia tidak dikuasai negara asing yang tidak menyukai kita.”
Dalam wawancara itu yang dimuat naik ke Youtube, Mahathir turut bertanya mengenai kepentingan kerjasama pertahanan antara Pakistan dan Malaysia.
Beliau berkata, pertahanan adalah penting, tetapi negara Islam tidak berupaya menghasilkan senjata sendiri.
“Mereka sentiasa bergantung kepada pengimportan atau membeli senjata mereka dari negara lain. Oleh itu, mereka bergantung kepada negara-negara ini untuk mempertahankan negara mereka.”
Katanya, sesebuah negara perlu mempunyai senjata pertahanan sendiri dalam jumlah besar dan Malaysia hanya mempunyai 32 juta populasi berbanding 200 juta penduduk di Pakistan.
“Jika anda gabungkan, pasaran itu lebih besar dan keperluan menjadi lebih besar untuk mewujudkan industri yang memerlukan pelaburan besar,” jelasnya.
Ditanya bagaimana Pakistan boleh mendapat manfaat daripada visinya, Mahathir berkata, setiap perdana menteri mahu meninggalkan legasi “untuk diimbau apabila penggal mereka berakhir”.
“Apabila anda menjadi PM, ia adalah peluang baik untuk melakukan banyak kebaikan bagi negara anda.
“Ingat, anda dipilih rakyat, jadi tugas anda ialah berkhidmat kepada rakyat, bukan diri sendiri,” katanya.
Katanya, seorang pemimpin boleh memikirkan pelbagai idea, sama ada meniru negara berjaya atau mencari jalan untuk membangunkan negara. – FreeMalaysiaToday
KOMEN