Home » Langit Terbuka » Wakil agama senada mahu keamanan, tolak kebencian

Wakil agama senada mahu keamanan, tolak kebencian

Mufti Wilayah Persekutuan dalam himpunan solidariti hari ini menegaskan, ajaran Islam menekankan supaya setiap manusia terutama penganutnya berakhlak baik sesama makhluk. - Foto FMT

KUALA LUMPUR – Wakil agama yang hadir di Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, hari ini bersolidariti mahukan keamanan dengan menolak keganasan.

Antara yang berucap menolak keganasan dan kebencian adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri yang menegaskan ajaran Islam menekankan supaya setiap manusia terutama penganutnya berakhlak baik sesama makhluk.

Beliau berkata, ayat yang terkandung dalam al-Quran mengajak setiap manusia cenderung kepada kedamaian dan ia mesti disampaikan dan sebarkan kepada manusia lain.

“Kedamaian yang kita laung-laungkan ini dapat kita terjemahkan apabila berlaku kesatuan apabila hati kita saling meraikan.

“Nabi kita mengajar kepada kita supaya hendaklah kamu berakhlak kepada manusia dengan akhlak yang baik.

“Justeru, marilah sama-sama kita tegak dan tanamkan semangat serta mengambil iktibar apa yang berlaku di New Zealand, baru-baru ini sebagai kita menentang sebarang bentuk ujian. Kita semai dan suburkan kedamaian serta kasih sayang antara kita,” katanya.

Wakil Kristian, Julian Leow pula menegaskan solidariti yang ditonjolkan pada hari ini bukti jelas semua masyarakat merentasi kaum dan agama menolak unsur keganasan dan kebencian.

“Kita berhimpun untuk kedamaian dan keharmonian. Kita sepatutnya tidak perlu satu tragedi untuk mendorong kita berhimpun seperti ini.

“Kita rakyat Malaysia sepatutnya bersatu kekal, kuatkan dan eratkan lagi tali persahabatan antara kita.

“Kali ini, saya harap kita beri mesej jelas kepada seluruh dunia bahawa kita berikrar pada hari mulia ini untuk kukuhkan persaudaraan, persahabatan dan persamaan kita sebagai rakyat Malaysia. Saya percaya semua agama mahukan kedamaian,” katanya.

Wakil agama Hindu, Datuk RS Mohan Shan menegaskan, setiap agama mengajar yang suci dan baik kepada penganutnya, antaranya untuk menghormati sesama umat manusia demi kesejahteraan dan kebajikan komuniti sekeliling tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita perlu jaga jiran kita tidak kira apa juga agama atau bangsa. Kita perlu pupuk nilai baik kepada anak-anak kita.

“Bagi masyarakat Hindu, saya ingin nyatakan… kami cinta dan sayangi tanah tumpah negara ini. Kami ingin bersama semua rakyat Malaysia yang lain menyambut kedamaian,” katanya.

Wakil agama Buddha, Sing Kan, berkata penganut agama itu bersolidariti terhadap apa yang berlaku terhadap umat Islam.

Beliau percaya, jika semua penganut agama lain mempunyai sikap hormat-menghormati dan bertanggungjawab, budaya negatif seperti kebencian dapat dihapuskan.

Perhimpunan ini disertai lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan agama seperti Islam, Sikh, Tao, Buddha, Kristian dan Hindu.

Perhimpunan ini adalah susulan serangan dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *