KAJANG – Polis akan memperketatkan kawalan di lokasi lokasi panas dan merah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, bagaimanapun situasi semasa di negara ini masih terkawal dan pihak polis sentiasa memantau puak puak pelampau dan ekstrimis serta pengganas dalam masyarakat.
Namun katanya, setakat ini belum wujud keperluan untuk menempatkan pengawal keselamatan di setiap rumah ibadat di negara ini susulan serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch New Zealand Jumaat lalu.
“Alhamdulillah keadaan sedia ada terkawal pihak polis dan keselamatan sentiasa memantau kumpulan ekstrimis, pengganas dalam masyarakat setempat di negara ini.
“IGP (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) pun sudah mengumumkan langkah langkah kawalan sudah dibuat dan akan diteruskan melibatkan kumpulan ekstrimis agama supaya insiden New Zealand itu tak berlaku di Malaysia,” katanya kepada pemberita ketika ditanya selepas majlis sambutan Hari Penjara Ke-229 di Penjara Kajang.
Tambah beliau, insiden serangan itu juga menjadi pengajaran kepada negara ini supaya tidak memperlekeh apa sahaja agama di negara ini yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum dan agama.
“Pengajaran kepada kita jangan memperlekeh apa sahaja agama lebih-lebih lagi di Malaysia yang ada bangsa pelbagai, ada Islam, Cina, Hindu, Buddhist dan Kristian, sensitif.
“Kita tidak mahu yang berlaku di tempat sana (New Zealand) berlaku di Malaysia, dan Alhamdulillah tidak ada orang yang akal dipengaruhi satu agama sampai bunuh dan sebagainya,” ujarnya.
Ditanya sama ada pasukan Polis E8 akan ditambah di setiap rumah ibadat untuk mempertingkatkan kawalan keselamatannya, beliau berkata, buat masa ini tidak wujud keperluan itu.
“KIta lakukan jika ada keperluan dan bukan semua rumah ibadat ada pasukan ditempatkan, majoriti rumah ibadat tak ada petanda akan berlaku perkara luar biasa jadi tak perlu tapi polis kata kawasan panas dan merah akan diambil tindakan pantau dan sewajarnya,’ kata beliau. – MalaysiaGazette
KOMEN