Home » Citra Yadim » Kerjasama program CIA, FBI dan KGB dengan YADIM

Kerjasama program CIA, FBI dan KGB dengan YADIM

Delegasi Unity (kiri) semasa kunjungan mereka ke YADIM

PUTRAJAYA – Global Unity Network (Unity), sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, menawarkan untuk bekerjasama dengan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)  dalam program program dakwah yang dilaksanakan mereka.

Presidennya, Shah Kirit Kakulal Govindji berkata, program program yang dilaksanakan mereka bersikap terbuka dan mensasarkan golongan yang luas pelbagai.

“Kami terbuka dan mengambil pendekatan dialog dan bukannya berdebat, jika berdebat kita mungkin boleh menang dengan hujah, tapi kita hilang ‘hati’ dan tarikan mereka (bukan Islam).

“Malah kami pelawa pihak-pihak yang mempunyai ketegangan dengan Islam datang ke pejabat kami untuk luah dan tunjukkan rasa tidak puas hati mereka,” katanya dalam sesi kunjungan kepada YADIM di sini hari ini (19 Februari 2019).

YADIM diwakili oleh Yang Dipertuanya, Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz serta Pengarah Kanan, Ustaz Wan Subki Wan Salleh.

Antara kerjasama yang dibincangkan ialah program Fundamentals and Basics of Interfaith (FBI),Creating Interfaith Activist (CIA),  dan Kursus Gempak Berceramah (KGB).

FBI jelas Shah Kirit adalah program induk Unity yang khusus melatih orang Islam untuk berdakwah. Mereka yang berminat katanya akan dilatih secara berfasa dalam seminar yang diadakan selama dua hari.

“Untuk FBI, tidak mengapa jika tiada pengalaman dalam berdakwah, malah kita juga terima sekiranya mereka yang berminat tidak menutup aurat dan sebagainya. Berdasarkan pengalaman kami, kesedaran seperti untuk menutup aurat untuk para pelatih ini akan timbul sendiri lama kelamaan,”jelas beliau.

CIA pula katanya direka untuk mereka yang benar benar serius untuk berdakwah. Ia merupakan program Latihan Untuk Pelatih (Traning For Trainers) yang mengambil masa selama empat hari tiga malam.

“Ia melibatkan amali dan praktikal, memang direka sedemikian kerana ada yang faham secara teori sahaja, tetapi bila kita minta amalkan, ada pembetulan yang perlu dilakukan,” ujar beliau.

KGB pula ialah projek terkini yang sedang dilakukan oleh Unity kata Shah Kirit. Menerusinya kata Shah Kirit, pendakwah atau penceramah akan dilatih sehingga mereka boleh membawakan topik topik yang diajar dalam CIA dan FBI.

Pihaknya menurut Shah Kirit memang memilih menggunakan frasa frasa berkenaan untuk menarik minat golongn muda untuk berdakwah. Ketiga tiga latihan ini sesuai dan selari dengan konsep pendakwaan yang cuba diterapkan YADIM tambahnya.

Sementara itu, Nik Omar berkata pihaknya mengalu alukan hasrat yang disampaikan berkenaan dan menganggap rakan rakan strategik di kalangan NGO seperti Unity memainkan peranan dalam dakwah secara bersama.

“Jika dilihat tugasan untuk berdakwah ini terlalu luas, untuk YADIM laksanakan sendirian mungkin sukar,’jelas beliau.

Katanya lagi, YADIM kini dalam peringkat akhir untuk menstrukturkan semula organisasinya dan akan memfokuskan selepas ini kepada bidang dakwah.

“Selepas penstrukturan kita akan panggil semula NGO NGO yang berkaitan (dalam perbincangan sebelum ini), fokus sudah tentu bidang dakwah, ia tentang bagaimana untuk persembahkan Islam kepada bukan Islam, InsyaAllah Unity termasuk rakan strategik kita“ujarnya.

Unity sebelum ini pernah bekerjasama dengan YADIM ketika terlibat melatih Felow Muda Dakwah pada tahun 2015, manakala Shah Kirit sendiri mula bekerjasama dengan badan dakwah ini menerusi pelbagai platform sejak 2005 lagi.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *