Home » Langit Terbuka » Sifat bumi bulat, hujah berdasarkan firman Allah SWT

Sifat bumi bulat, hujah berdasarkan firman Allah SWT

Mufti Wilayah Persekutuan berpandangan, bahawa kekeliruan golongan penyokong 'flat earth' yang beragama Islam adalah salah faham dalam memahami kalimah al-Ardh. - Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Ekoran kekecohan dan perdebatan hangat mengenai bentuk bumi sejak beberapa hari lalu, Mutfi Wilayah Persekutuan tampil menegaskan bahawa sifat bumi adalah bulat.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dalam satu kenyataan mengemukakan antara hujah yang menunjukkan bentuk bulat bumi berdasarkan firman Allah SWT.

“(Firman Allah SWT) maksudnya – ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya).

“Para ulama telah bersetuju bahawa sifat bumi adalah bulat. Adapun kebulatannya bukanlah dalam erti kata bulat keseluruhan tetapi boleh jadi bulat yang berbentuk sfera atau bulat seperti sebiji telur. Ini semua boleh dilihat menerusi penemuan moden,” kata mufti.

Dalam kenyataan Bayan Linnas Siri 166 bertajuk Polemik Bumi Rata: Sisi Pandangan Islam itu, Zulkifli berpandangan bahawa kekeliruan golongan penyokong ‘flat earth’ yang beragama Islam adalah salah faham dalam memahami kalimah al-Ardh.

“Apabila Allah SWT menyebutkan al-Ardh, ia menunjukkan kepada tanah tempat kita berpijak yang kita lihat disekeliling kita. Ia tidak merujuk kepada planet bumi seperti yang difahami oleh mereka,” katanya.

Zulkifli turut merujuk kepada pengesahan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang menyatakan bumi berbentuk sfera atau lebih tepat adalah, tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.

“Justeru, kami nyatakan bahawa penafian sifat bulatnya bumi adalah pendapat yang tersilap, sementalahan lagi ia bertentangan dengan ijma’ yang tidak boleh dibangkangnya,” ujarnya yang merujuk ijma’ sebagai kesepakatan para ulama dalam menetapkan sesuatu berasaskan Al-Quran dan hadis

Mengenai pandangan ulama, Zulkifli berkata, golongan itu telah lama membahaskan isu tersebut, malah sebahagian mereka membincangkannya lebih 1,000 tahun.

Justeru, katanya, kefahaman tersebut menunjukkan Islam telah memimpin dunia dari sudut keilmuan dan makrifah alam jauh mendahului mana-mana negara yang hebat di muka bumi.

“Keterbatasan pancaindera kita membuatkan kita tidak mampu untuk memahami ayat ini hanya dengan merujuk teks atau terjemahan semata-mata tanpa melihat tafsiran para ulama dan juga fakta-fakta dari sudut ilmu falak dan astronomi.

“Apatah lagi berhujah semata-mata dengan apa yang kita lihat di hadapan mata kita yang sudah tentu sangat jelas keterbatasannya. Pancaindera semata-mata tidak akan mampu membantu kita menggapai kebenaran,” katanya. – MStar

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *