KUALA LUMPUR – Cuaca indah diterangi mentari membangkitkan kekuningan lambang kedaulatan diraja. Begitulah indahnya detik bersejarah buat Malaysia apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bermula hari ini, 31 Januari 2019.
Tanggal 6 Januari lalu menjadi titik tolak kepada sejarah hari ini apabila Sultan Muhammad V melepaskan tahkta baginda selaras dengan Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan seperti yang dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz.
Susulan itu, pada 7 Januari menyaksikan satu mesyuarat khas Majlis Raja-Raja diadakan bertujuan memilih tarikh bagi mengadakan mesyuarat khas untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang dihadiri oleh lapan sultan dan raja sekaligus menetapkan 24 Januari sebagai tarikh bagi memutuskan ketua negara baharu.
Tiada siapa menduga, Sultan Abdullah yang 44 tahun diangkat sebagai Tengku Mahkota Pahang dan dua kali menjadi Pemangku Raja Pahang mengisi jawatan ketua negara memandangkan pemerintahan Sultan Muhamad V masih berbaki kira-kira tiga tahun.
Pelantikan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seperti dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat pada 24 Januari turut mencatatkan sejarah tersendiri apabila baginda hanya dua minggu berada di singgahsana takhta Kesultanan Melayu Pahang seterusnya memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Hari ini, Istiadat Melafaz Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dilangsungkan dalam majlis penuh istiadat di Istana Negara yang disaksikan oleh semua rakyat Malaysia dan semua sultan kecuali Sultan Kelantan yang diwakili oleh Tengku Mahkota Kelantan.
Keberangkatan baginda ke Istana Negara kira-kira 10.50 pagi ini disembah tabik hormat oleh Kawalan Kehormat Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja dan ditunggu-tunggu oleh jemaah menteri, tetamu jemputan di Balairong Seri.
Istiadat berkenaan turut menyaksikan Mesyuarat Khas Raja-Raja ke-252 dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, disaksikan oleh dua saksi iaitu Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail serta Sultan Terenganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menyaksikan angkat sumpah dan tandatangan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai TImbalan Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyembah surat perisytiharan kepada Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 melengkapkan iIstiadat berkenaan.
Saat detik bersejarah yang menyaksikan rakyat Malaysia berada di bawah naungan payung mahkota baharu itu adalah berlandaskan peruntukan perkara 37 Perlembagaan Malaysia.
Pengalaman sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975 dan dua kali sebagai Pemangku Raja Pahang, tradisi giliran jawatan Yang di-Pertuan Agong serta ketokohan Sultan Abdullah menjadikan baginda pemerintah paling layak diangkat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Sultan Muhammad V.
Yang di-Pertuan Agong Ke-16 sebagai ketua negara dan panji agama Islam di Malaysia akan terus memayungi rakyat secara keseluruhannya. Daulat Tuanku! – Utusan Malaysia
KOMEN