PUTRAJAYA – Pertamanya diucapkan syukur ke atas semua nikmat dan rahmat yang dikurniakanNya ke atas hambanya.
Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad atas persetujuan dan melengkapkan pelantikan 12 orang Ahli Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
YADIM juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf yang meluangkan masa menyampaikan sendiri watikah perlantikan ALPA badan ini. Ia sekaligus melambangkan hasrat dan kesungguhan beliau serta kepimpinan negara untuk melihat YADIM melaksanakan teras operasinya, melakukan kerja kerja dakwah menurut gagasan Rahmatan Lil Alamin.
Barisan ALPA YADIM yang baharu dilantik melambangkan ilmu, kekuatan dan pengalaman dari beberapa latar belakang yang berbeza. Ia merupakan gabungan dari professional yang pelbagai seperti agama, akademik, perundangan dan lain lain lagi.
Ia diyakini mampu menjana idea dan memberi nasihat kepada pihak pengurusan YADIM. Kepelbagaian latar belakang dan pengalaman sedemikian sememangnya sesuai dengan agensi seperti YADIM dalam menggerakkan agendanya, iaitu meletakkan Islam di Malaysia di kedudukannya yang sebenar melalui medan dakwah yang penuh hikmah.
Pada masa yang sama, YADIM menerima dengan positif dan mengambil maklum semua pandangan, nasihat dan kritikan terhadapnya, dan akan menjadikannya sebagai kerangka untuk penambah baikan organisasi ini.
Fokus utama YADIM kini sudah tentu adalah bidang dakwah selain pendidikan, kebajikan dan sosial, menerusi tiga wawasan YADIM iaitu Mengubah Pemikiran, Nasihat Menasihati dan Operasi Kehidupan.
Badan dakwah ini akan menumpukan kepada usaha pengkaderan daie, para pendakwah yang benar benar memahami Islam, menggunakan pendekatan yang terbaik untuk berdakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.
Sesuai dengan tujuan penubuhannya, YADIM juga akan memperkukuhkan hubungan dan interaksi dengan badan badan bukan kerajaan Islam di negara ini serta menjadikan mereka sebagai rakan strategik bagi menjayakan visi dan misi YADIM, di samping menyumbang kepada pembangunan ummah.
YADIM komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh patuh Syariah, yang boleh dijadikan rujukan kepada negara lain di peringkat antarabangsa.
Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
25 Jamadilawal 1440H@31 Januari 2019
KOMEN