LUMUT – Usahawan tempatan perlu merebut peluang untuk terlibat dalam industri produk halal di pasaran antarabangsa yang kini permintaannya mencecah hampir AS$2 trillion di seluruh dunia.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, permintaan industri produk halal itu juga makin meningkat dengan pertumbuhan sehingga 20 peratus setiap tahun bagi memenuhi hasrat pembeli di seluruh dunia.
“Di pihak kementerian, kita bantu dari segi membuka peluang pasaran di luar negara dan bertaraf antarabangsa dan ini adalah peluang baik untuk usahawan tempatan.
“Selain itu, kita juga membantu memberi peluang perniagaan di pusat perniagaan besar di Kuala Lumpur atau negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvokesyen Usahawan Bumiputera (KUB) dan showcase Satu Produk Satu Industri (SDSI) di Marina Island Hall di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli.
Majlis tersebut dihadiri lebih 500 usahawan daripada pelbagai sektor dari negeri Perak dan melibatkan 60 pameran jualan serta slot perkongsian ilmu seperti ‘pocket talk’ dan ‘success story’.
Mohd. Redzuan berkata, jika program SDSI nampak memberangsangkan, pihaknya akan tambah baik dari segi membuka pasaran di luar negara supaya nampak bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, industri produk halal bukan sahaja melibatkan produk makanan tetapi segala barangan yang diproses secara halal.
Katanya, bagi produk makanan, proses halal ia termasuk daripada aspek pengangkutan sehingga aspek pengendalian di pasar raya yang mana setiap proses tersebut penting bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap produk tersebut.
“Ada juga barangan halal yang dibuat orang bukan Islam tetapi mereka mengetahui proses halal itu jadi mereka nampak peluang perniagaan itu begitu besar.
“Jika kita tengok di Malaysia, ada barangan halal yang dibuat orang bukan Islam tetapi mereka mengetahui dan memahami proses halal itu, jadi mereka nampak peluang (perniagaan) itu begitu besar,” katanya.
Menurutnya, sebagai contoh di Pulau Pinang, 55 peratus penduduknya adalah bukan Islam tetapi yang mengusahakan barangan halal adalah 90 peratus dibuat dan dibekalkan oleh kaum Cina.
“Keadaan ini turut berlaku di Jepun dan China kerana mereka memahami kehendak halal di seluruh dunia,” katanya. – Utusan Malaysia
KOMEN