Home » Langit Terbuka » Isu tanda salib, ini pesan Mufti Pulau Pinang…

Isu tanda salib, ini pesan Mufti Pulau Pinang…

Kenyataan Mufti Pulau Pinang berhubung isu lambang yang didakwa seperti salib di Pulau Pinang - Foto Facebook

GEORGETOWN – Isu paparan lambang salib di bangunan Grace Residencs, Jelutong perlu ditangani dengan bijaksana dan mengikut saluran undang-undang sedia ada.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perkara itu perlu diselidik terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu menyiasat sama ada perkara itu dibuat dengan sengaja atau secara kebetulan sahaja.

“Saya terpanggil untuk memberi komen mengenai dakwaan dibuat pihak tertentu yang kini tular di media sosial mengenai paparan lambang salib di sebuah bangunan di Jelutong. Pendapat saya, isu ini perlu ditangani secara cermat.

“Apa saja tindakan yang akan diambil berkaitan isu ini nanti , hendaklah mempertimbangkan keseimbangan di antara kebebasan beragama yang menjadi hak setiap warganegara Malaysia dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Wan Salim berkata, Perlembagaan Persekutuan melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain di kalangan masyarakat yang beragama Islam.

“Saya memohon semua pihak agar sentiasa berhati-hati dalam tindak tanduk masing-masing supaya tidak mengeruhkan suasana hubungan harmoni di kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan berbeza kepercayaan agama.

“Perlu difahami bahawa dalam konteks agama Islam itu sendiri, satu keburukan tidak harus dihapuskan dengan keburukan yang lebih besar.

“Sesuatu perkara yang tidak diingini tidak boleh diselesaikan dengan hanya menzahir perasaan marah sahaja, sebaliknya ia perlu ditangani dengan waras dan cermat mengikut saluran yang sah di sisi undang-undang,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin kemelut ini boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya semua pihak bersedia bertolak ansur untuk kebaikan bersama.

“Oleh itu, saya dengan penuh harapan meminta kerajaan negeri, menerusi Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) segera mengarahkan pemaju untuk mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan tersebut.

“Ia bagi tidak kelihatan seperti lambang salib yang tidak disenangi oleh pihak tertentu sehingga menjadi isu bantahan mereka,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai sebuah kediaman kategori pangsapuri di Jelutong yang memaparkan lambang salib dengan menggunakan lampu.

Ia jelas kelihatan terutamanya pada waktu malam selepas kesemua lampu itu dipasang.

Perkara itu menyebabkan beberapa masyarakat setempat serta penduduk berdekatan tidak berpuas hati dan difahamkan, mereka telah membuat laporan polis berhubung lambang tersebut. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *