PUTRAJAYA: Kerajaan optimis Lembaga Tabung Haji (TH) akan kembali ke landasan asalnya pada tahun ini menerusi pelan pemulihan kewangan terhadap badan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata keputusan kerajaan untuk meletakkan TH di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) seperti institusi Kewangan Islam yang lain bertujuan mengukuhkan tadbir urus dan pengurusan risiko TH, agar lebih berdaya saing dan mampan.
“Dengan kawal selia ini, ia tidak bermakna TH di bawah BNM kerana TH akan terus beroperasi dan tertakluk kepada Akta Tabung Haji 1995.
“Penting untuk dijelaskan bahawa skop kawal selia ini tidak merangkumi tadbir urus dan pengurusan haji.
“Penyeliaan BNM akan memantapkan pengurusan risiko TH terutama berkaitan risiko pelaburan, kecairan, pasaran serta operasi agar ia selari dengan standard industri,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini.
TH sebelum ini dipalit kontroversi apabila pada 30 tahun November lalu, TH membuat laporan polis berhubung kes salah guna kuasa dilakukan bekas pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan institusi itu.
Mujahid berkata, pendedahan skandal yang berlaku dalam TH bukan dibuat secara spontan tetapi hasil perancangan rapi bagi memastikan kepentingan umat Islam terus terjaga.
“Kami merancang untuk dedahkan masalah ini bukan satu hari, maknanya bukan spontan kita ada perancangan sebab kita rasakan TH adalah kepentingan umat Islam.
“Kita cuba baikinya agar TH kembali kepada zaman keagungannya dan apabila profil perniagaannya mengikut prosedur, sudah tentu yang untung adalah pendeposit seramai kira-kira sembilan juta. Daripada jumlah itu, tiga juta daripadanya adalah mereka yang menunggu untuk pergi haji.
“Kepentingan itu terlalu besar untuk kita berterusan gadaikan (TH), maka kita ambil keputusan, walaupun tahu ia sukar tetapi kita tiada pilihan bagi menjaga martabat TH supaya ia maju lagi ke hadapan.
“Maka, anggaplah pendedahan ini sebagai langkah untuk kita baik pulih dan saya diberi jaminan tahun ini TH akan kembali ke landasannya yang asal,” katanya. – Berita Harian
KOMEN