Home » Langit Terbuka » Inkues Muhammad Adib dijalankan dengan teliti, elak polemik

Inkues Muhammad Adib dijalankan dengan teliti, elak polemik

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, tidak timbul isu tentang perkara itu (siasatan dan inkues kes Adib) sengaja dilengahkan sebaliknya setiap proses dilakukan secara terbaik kerana ia merupakan isu nasional.- Foto The Sun

ALOR SETAR – Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akan dilaksana dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kelompangan dan dipolemikkan pihak tertentu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, tidak timbul isu tentang perkara itu sengaja dilengahkan sebaliknya setiap proses dilakukan secara terbaik kerana ia merupakan isu nasional.

“Prosedur inkues adalah yang terbaik, sebelum ini pun arwah sudah diberikan rawatan terbaik…kita bersyukur keluarga setuju lakukan post-mortem (bedah siasat) jadi semua laporan dah ada.

“Biasanya inkues ambil masa sebulan, tetapi mungkin dapat diselesaikan lebih cepat apabila semua maklumat yang diperlukan lengkap,” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga Allahyarham Muhammad Adib di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Menurut Zuraida, pada inkues pertama yang akan dijalankan di Mahkamah Koroner pada 18 Jan ini, semua saksi akan dipanggil, termasuk doktor yang merawat dan pihak forensik yang melakukan bedah siasat terhadap Muhammad Adib.

“Pada peringkat awal seramai 20 saksi telah dipanggil untuk beri keterangan dan dalam perkembangan terbaru saya dimaklumkan ada saksi baru yang akan dipanggil untuk bantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Cara III Datuk Mohd Hanafiah Zakaria berkata, pihak Jabatan Peguam Negara telah memfailkan dokumen kes di Pejabat Pendaftar Mahkamah Shah Alam dan pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib ditetapkan pada 18 Jan depan.

Sementara itu, ibu Muhammad Adib, Asma Aziz, 51, berharap proses inkues dapat dijalankan dan diselesaikan dengan cepat selain ingin melihat muka pelaku yang tergamak memukul anaknya itu.

“Saya harap pelaku dapat ditahan dengan cepat, kalau susah tangkap sahaja dalangnya kalau tak dapat tangkap yang bawah-bawah. Apa pun saya terima ketentuan Ilahi dan sentiasa teringat anak dan setiap hari selepas solat Subuh saya dan suami akan pergi ziarah kuburnya,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *