Home » Langit Terbuka » Menteri jamin harga barang keperluan sekolah berpatutan

Menteri jamin harga barang keperluan sekolah berpatutan

KPDNHEP telah bertemu dengan persatuan peruncit dan mereka memberi jaminan akan ikut membantu hasrat kerajaan untuk tidak menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup dengan cara tidak membebankan pengguna - Foto Awani

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan keperluan barangan persekolahan akan dijual dengan harga berpatutan di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan persatuan peruncit mengenai harga pasaran bagi item keperluan persekolahan.

“Dan mereka memberi jaminan akan ikut membantu hasrat kerajaan untuk tidak menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup dengan cara tidak membebankan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Bicara Makan Tengah Hari – ‘Media dan Kepenggunaan: Perspektif Negara’ di Dewan Serbaguna KPDNHEP hari ini.

Saifuddin berkata, jaminan yang pertama adalah jaminan bekalan keperluan persekolahan itu cukup di pasaran.

“Yang kedua jaminan untuk harga setiap item dijual pada harga munasabah dan berpatutan.

“Langkah seterusnya adalah penguatkuasa KPDNHEP akan membuat pemantauan dari masa ke semasa.

“Sebolehnya kita tidak mahu mengganggu urusan perniagaan mereka tapi jika kepentingan pengguna terjejas, Kementerian tidak ada pilihan lain, penguatkuasaan akan dilaksanakan,” katanya lagi.

Sesi persekolahan 2019 akan bermula pada 2 Januari 2019 serentak diseluruh negara. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *