Home » Langit Terbuka » KPN arah JSJK siasat TH

KPN arah JSJK siasat TH

Ketua Polis Negara telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk membuat siasatan lanjut berhubung kes Tabung Haji - Foto Kosmo

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah diarahkan menyiasat dua laporan polis yang dibuat Lembaga Tabung Haji (TH) pada 30 November lalu, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Saya telah arahkan JSJK untuk membuat siasatan lanjut dan siasatan sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Kolej UniKop di sini, hari ini.

Pada 30 November lalu Tabung Haji membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.

Laporan yang dikemukakan itu adalah hasil siasatan dalaman yang pertama oleh pengurusan baharu berhubung beberapa transaksi masa lalu.

Kakitangan kanan yang terbabit dalam laporan polis itu ialah Ketua Pegawai Operasi Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 di mana dana berjumlah lebih RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

YTH ditubuhkan pada 2016 untuk melaksanakan, antara lain, bantuan kemanusiaan serta menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik, miskin dan yang memerlukan.

TH menyumbang RM7 juta kepada program itu.

Laporan kedua terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina adalah berkaitan dakwaan salah nyata dan menyekat maklumat material melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga US$910 juta (RM3.7 bilion).

Menurut kenyataan itu, PT TH Indo Plantations memiliki 83,000 hektar ladang kelapa sawit di Indonesia.- Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *