Home » Langit Terbuka » Jangan adakan perhimpunan bantah ICERD

Jangan adakan perhimpunan bantah ICERD

Menteri Dalam Negeri berpandangan, rancangan beberapa pihak untuk menganjurkan Himpunan Membantah ICERD pada 8 Disember ini, tidak perlu diteruskan setelah Kabinet memutuskan tidak akan meratifikasinya - Foto The Coverage

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan nada keras menasihatkan beberapa pihak supaya tidak mengadakan perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Beliau turut berharap orang ramai tidak mengambil tindakan atau membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan kaum dan agama serta menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

Menurutnya, undang-undang berkaitan hasutan masih berkuatkuasa dan tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana individu yang sengaja mencetuskan sentimen kaum.

“Berhubung rancangan beberapa pihak untuk menganjurkan Himpunan Membantah ICERD pada 8 Disember ini, saya berpandangan, setelah Kabinet memutuskan tidak akan meratifikasi ICERD, sebaiknya sebarang bentuk perhimpunan membantah ICERD tidak perlu diadakan. Sebarang tindakan untuk meneruskan perhimpunan ini adalah tidak munasabah.

“Namun, sekiranya pihak penganjur meneruskan juga hasrat untuk mengadakan perhimpunan tersebut, saya ingin menegaskan bahawa penganjurannya adalah tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012. Pihak penganjur hendaklah mematuhi peruntukan akta ini dan segala syarat yang ditetapkan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

Kabinet telah memutuskan untuk tidak menandatangani dan meratifikasi (ICERD) yang dilihat bercanggah dengan beberapa peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah Muhyiddin, jika terdapat cubaan oleh mana-mana pihak untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama menerusi perhimpunan ini, maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka berlandaskan undang-undang negara.

“Sementara kerajaan meraikan hak individu untuk bersuara dan berhimpun seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, hak-hak ini hendaklah diamalkan menurut kehendak undang-undang,” ujarnya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *