Home » Langit Terbuka » Tekanan punca polis pencen awal

Tekanan punca polis pencen awal

Ketua Polis Negara, melahirkan kebimbangan itu berkata, pihaknya kini sedang melakukan kajian bagi mencari jalan keluar agar trend peningkatan persaraan dalam kalangan anggota polis dapat dikurangkan

KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak sejak lima tahun kebelakangan ini berhubung trend anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersara awal daripada waktunya amat membimbangkan.

Malah apa lebih merunsingkan antara punca tindakan anggota meninggalkan kerjaya tersebut termasuk tekanan kerja yang sehingga kini belum ada jalan penyelesaian terbaik menanganinya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang melahirkan kebimbangan itu berkata, pihaknya kini sedang melakukan kajian bagi mencari jalan keluar agar trend peningkatan persaraan dalam kalangan anggota polis dapat dikurangkan.

Jelasnya, hampir 5,000 anggota akan memilih untuk bersara awal atau bersara wajib dan dikhuatiri ia terus meningkat setiap tahun.

“Saya sendiri mendapat maklumat ada ramai dalam kalangan pegawai kita yang memohon untuk bersara lebih awal. Sudah tentu ada pelbagai sebab seperti isu keluarga, kesihatan serta logistik yang lain-lain. Itu yang kelazimannya.

“Bagaimanapun, apa yang lebih saya bimbangkan sebenarnya, ada juga yang bersara lebih awal dari dunia kepolisan ini kerana tekanan kerja, saya tidak pasti mengapa ianya berlaku dan kajian secara komprehensif sedang dilakukan dan bagaimana kita mahu tanganinya pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara perbarisan dan penyampaian tamat kursus asas Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Seramai 248 kadet inspektor dan 146 kadet sarjan menamatkan kursus asas mereka yang memakan masa sehingga sembilan bulan berakhir hari ini.

Mohamad Fuzi menambah, PDRM terpaksa mengimbangi persaraan polis dengan meningkatkan keperluan untuk mengambil lebih banyak anggota bagi mengisi kekosongan terbabit.

“Kita akan melihat permasalahan ini dan kita jangkakan akan mengambil lebih 7,000 pegawai-pegawai baharu bermula tahun depan bagi mengisi kekosongan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *