Home » Langit Terbuka » Bukan semua nilai baik global sesuai untuk Malaysia

Bukan semua nilai baik global sesuai untuk Malaysia

Pengerusi Panel Hak Asasi Manusia Majlis Dakwah Negara menegaskan, tidak semua nilai yang dilihat baik pada peringkat global perlu ditanam di peringkat glokal, kerana nilai itu perlu digarap berdasarkan susun atur budaya, agama dan norma lazim setempat

BANGI – Panel Hak Asasi Manusia – Majlis Dakwah Negara (MDN) mengingatkan kerajaan Malaysia supaya menangani apa-apa isu sensitif dengan penuh kebijaksanaan, termasuk konvensyen yang hendak diguna pakai di negara ini.

Pengerusi Panel Hak Asasi Manusia MDN, Profesor Datuk Dr Torla Hassan menegaskan, tidak semua nilai yang dilihat baik pada peringkat global perlu ditanam di peringkat glokal, kerana nilai itu perlu digarap berdasarkan susun atur budaya, agama dan norma lazim setempat.

Sehubungan itu, katanya, Panel Hak Asasi Manusia MDN berpendirian bahawa Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), tidak perlu diratifikasi kerana memberi impak dari sudut perundangan, khususnya Perlembagaan Persekutuan.

“ICERD bertujuan menghapus segala bentuk diskriminasi, termasuk ‘diskriminasi positif’ seperti hak orang Melayu dan Bumiputera, kedudukan istimewa agama Islam dan Raja-Raja Melayu yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan akhbar SUHAKAM semalam yang mendesak kerajaan meratifikasi ICERD.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengambil kira pandangan semua pihak yang berkaitan dalam isu itu.

Torla berkata, rundingan awam perlu diadakan bagi mengelak perasaan tidak puas hati yang mungkin boleh menimbulkan ketidakstabilan kepada negara dari aspek perundangan, sosial atau hubungan antara kaum.

Panel Hak Asasi Manusia-MDN, katanya, menentang sebarang kezaliman dan penindasan terhadap mana-mana orang sama ada dari kalangan majoriti atau minoriti daripada mendapat hak asas mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Semua orang mempunyai hak yang sah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan, malah di dalam agama Islam juga hak ini, termasuk hak orang bukan Islam, adalah terpelihara dan menjadi tanggungjawab setiap orang Islam mempertahankan hak yang sah ini,” katanya.-Ismaweb

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *