Home » Langit Terbuka » Portal cari jodoh pertama agensi kerajaan dilancar

Portal cari jodoh pertama agensi kerajaan dilancar

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak menjelaskan, tidak seperti portal jodoh sedia ada, menerusi Cinta Sakinah, perkenalan antara dua individu diurus serta dipantau hingga ke peringkat pertemuan dan pernikahan

IPOH – Portal mencari jodoh, Cinta Sakinah yang dibangunkan bagi membantu individu sukar mendapat pasangan berkahwin dilancar di sini.

Pelancaran cintasakinahjaipk.perak.my itu juga menjadikan laman sesawang berkenaan yang pertama di negara ini diuruskan sepenuhnya oleh agensi kerajaan, Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bersama KPerak.

Pengarah Jaipk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pengisian portal berkenaan disusun secara sistematik menepati kehendak perkahwinan dalam Islam.

“Tidak seperti portal jodoh sedia ada, menerusi Cinta Sakinah, perkenalan antara dua individu diurus serta dipantau hingga ke peringkat pertemuan dan pernikahan. Ia bukan sekadar laman web biasa, jodoh yang dipilih akan dinilai sama ada menepati kehendak sebagai satu pasangan atau tidak.

“Pertemuan diatur dilakukan di pejabat agama daerah ditemani anggota keluarga, jadi keduanya boleh bercerita tentang diri masing-masing, apabila ada kesesuaian dan persetujuan maka kita bantu hingga ke urusan pernikahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran laman sesawang Cinta Sakinah dan Modul Pemahaman Poligami Negeri Perak oleh Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini.

Menurutnya, Jaipk yakin dapat membantu individu yang sukar mencari jodoh sama ada disebabkan kesibukan kerja mahupun lanjut usia melalui laman sesawang bekenaan.

“Sebelum ini kita perkenalkan modul nikah Jamaie dengan hasrat untuk adakan perkahwinan ikut hukum Islam, Alhamdulillah ia diterima baik dan atas sebab itu juga kita anjurkan laman web ini dengan niat untuk memudahkan orang yang sukar mencari jodoh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff memberi jaminan setiap maklumat yang diberikan individu yang berdaftar adalah selamat dan boleh ditentu sahkan.

Menurutnya, sistem berkenaan mempunyai pautan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JNP) untuk tentukan maklumat latar belakang yang diberi, malah semakan kes jenayah juga boleh dilakukan.

“Ini untuk pastika pasangan dicari benar-benar membawa hingga ke alam perkahwinan. Kita akan lihat dulu keberkesanannya dan buat masa ini kita utamakan untuk anak Perak. Jika semuanya diterima baik, kita akan bincang selanjutnya supaya konsep sama boleh diguna pakai ke peringkat Pusat,” katanya. – Sinar Harian.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *