Home » Langit Terbuka » Terengganu kaji cadangan pusat tahanan khas untuk pesalah syariah

Terengganu kaji cadangan pusat tahanan khas untuk pesalah syariah

Menteri Besar Terengganu berkata, cadangan pusat tahanan pesalah syariah tidak mustahil dilaksanakan mengikut kesesuaian, namun ia tidak akan dibuat dalam keadaan terburu-buru

KUALA TERENGGANU – Terengganu akan menimbang syor seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah menubuhkan pusat tahanan khas untuk menempatkan pesalah syariah bagi membolehkan mereka menjalani hukuman secara berasingan daripada pesalah sivil.

Menteri Besarnya, Ahmad Shamsuri Mokhtar berkata, cadangan itu tidak mustahil dilaksanakan mengikut kesesuaian, namun ia tidak akan dibuat dalam keadaan terburu-buru.

“Kerajaan negeri mengambil serius pandangan dan cadangan Hakim Syarie itu, tetapi kita akan bincang pro dan kontra cadangan itu terlebih dahulu,” katanya selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Dataran Batu Buruk, yang dihadiri kira-kira 12,000 penduduk hari ini.

“Kita akan semak adakah ia berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri atau ada kaitan dengan kerajaan pusat. Ini semua akan kita lihat secara menyeluruh terlebih dahulu…(bagaimanapun) kita tidak mengejar waktu (untuk melaksanakan) perkara ini.”

Pada 10 Oktober lalu, Hakim Kamalruazmi Ismail mencadangkan pusat tahanan khas untuk menempatkan pesalah syariah bagi tujuan memulihkan akidah dan akhlak pesalah syariah, di samping melindungi mereka daripada pesalah jenayah berat seperti rogol atau samun.

Beliau berkata demikian sebelum membacakan penghakiman kes seorang janda yang dihukum 4 sebatan, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri pada 19 September lalu.

Mengulas isu hukuman syariah yang dipolemikkan orang ramai hingga ada pihak mahu memboikot industri pelancongan Terengganu, Shamsuri berkata, semua pihak perlu melihat perkara itu dengan hati dan minda terbuka.

Katanya, tidak adil jika terus menyalahkan kerajaan negeri dalam isu itu kerana setiap negeri atau mana-mana negara mempunyai garis panduan dan undang-undang yang perlu dipatuhi mengikut demografi serta tatasusila latar belakang masyarakat, agama dan kaum.

“Sepatutnya ia tidak perlu jadi isu, kita ikut sensitiviti berdasarkan tempat dan budaya masing-masing sebab kalau di tempat lain pun, sebagai contoh di Perancis, ada sesetengah tempat tidak membenarkan wanita berhijab memasuki kawasan itu.” – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *