Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, tali tersebut diikat antara saru sama lain sebelum arus deras datang secara tiba-tiba yang mengakibatkan mereka lemas.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.15 malam semalam dan enam penyelam itu sudah berada lima minit di dalam air untuk mencari mangsa, remaja 17 tahun yang dilaporkan lemas.

“Namun, secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang antara satu sama lain dan dipercayai menjadi punca peralatan menyelam dipakai tertanggal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Dalam pada itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang berada di lokasi kejadian semalam menyifatkan apa terjadi sebagai sesuatu yang tidak disangka.

“Ini adalah satu kejadian yang sangat tragik dan dan ucapkan takziah kepada semua mangsa,” katanya.

Difahamkan, usaha pencarian dan menyelamat remaja yang lemas sudah dimulakan sejak pukul 8 pagi tadi. – Utusan Malaysia