KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia menghulurkan bantuan terutamanya dalam misi mencari dan menyelamat mangsa bencana gempa bumi di Sulawesi, Indonesia.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataannya berkata bagaimanapun, sehingga kini Indonesia masih belum memohon bantuan antarabangsa kerana berpandangan kapasiti dalam negara tersebut masih mencukupi.
“Berdasarkan kepada ‘standby arrangement plan’, Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan bantuan terutamanya dalam aktiviti mencari dan menyelamat yang mana Pasukan Smart Nadma merupakan pasukan Mencari dan Menyelamat Urban (USAR) utama bertaraf INSARAG antarabangsa,” kata kenyataan itu.
Dua anggota Emergency Response Assessment Team (ERAT) telah dihantar ke Sulawesi petang ini untuk menyertai pasukan ASEAN-ERAT.
“Hasil penilaian oleh pasukan itu akan menjadi asas dan justifikasi untuk Malaysia menghantar bantuan kelak,” kata kenyataan itu lagi.
Gempa gempa bumi kuat bermagnitud 7.7 pada skala Richter yang melanda Donggala, Sulawesi Tengah, Indonesia pada pukul 5.02 petang waktu tempatan (6.02 waktu Malaysia) pada Jumaat turut mengakibatkan tsunami di kawasan pantai Palu. – Bernama
KOMEN