Home » Langit Terbuka » Ketua Hakim turun padang berkhidmat kepada rakyat pedalaman

Ketua Hakim turun padang berkhidmat kepada rakyat pedalaman

Ketua Hakim Negara, bersama kakitangan Mahkamah Kota Kinabalu hari ini turun padang berjumpa rakyat dari Keningau, Tenom, Tambunan, Nabawan dan Pensiangan - Utusan Malaysia

KENINGAU – Menyelesaikan urusan biasa di mahkamah boleh menjadi kesukaran kepada rakyat terutama yang tinggal jauh di pedalaman disebabkan kekangan kewangan selain ketiadaan sistem pengangkutan yang baik.

Berikutan itu, bagi memastikan golongan itu mendapat khidmat sewajarnya, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum bersama kakitangan Mahkamah Kota Kinabalu hari ini turun padang berjumpa rakyat dari Keningau, Tenom, Tambunan, Nabawan dan Pensiangan untuk menyelesaikan masalah perundangan yang dihadapi.

Ketika ditemui, Richard berkata, antara perkara yang banyak diadukan oleh penduduk kampung ialah ketiadaan sijil lahir dan permohonan kad pengenalan yang tertangguh disebabkan masalah daftar lewat kelahiran.

“Isu utama di kawasan luar bandar ialah majoriti tiada surat beranak dan ada yang tiada kad pengenalan sebab daftar lewat kelahiran, maka tidak boleh mohon kad pengenalan dan memerlukan inkuiri daripada mahkamah.

“Biasanya orang akan datang ke Sandakan atau Kota Kinabalu yang memerlukan kos tinggi terutama dari luar bandar sebab itulah kami datang jumpa mereka untuk mengambil permohonan bagi kita buat inkuiri,” katanya ketika ditemui di Bilik Bicara Mahkamah Bergerak di pekarangan Dewan Masyarakat Keningau di sini.

Sebanyak tiga buah bas digunakan bagi menawarkan khidmat mahkamah kepada rakyat sempena Hari Ketua Menteri Bersama Rakyat yang diadakan di dewan itu di sini.

Richard berkata, setiap masalah yang diadukan akan cuba diselesaikan segera manakala bagi yang memerlukan susulan, perlu dibawa ke Mahkamah Kota Kinabalu untuk diatasi dalam tempoh dua hingga empat bulan.

Tambahnya, program berjumpa rakyat seperti itu perlu diperbanyakkan kerana tanpanya, ramai anak-anak penduduk tempatan akan menjadi rakyat tanpa negara hanya disebabkan daftar lewat kelahiran.

“Jika tiada program ini, kebanyakan mereka akan jadi rakyat tiada negara dan bila datang ke hospital terpaksa didaftar sebagai warga asing,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *