Home » Langit Terbuka » Kerajaan cadang beri subsidi pengangkutan awam kepada B40

Kerajaan cadang beri subsidi pengangkutan awam kepada B40

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara mencadangkan pemberian pas bulanan tanpa had perjalanan bagi Rapid Rail dan Rapid Bas Bersepadu dan pemberian diskaun bagi perkhidmatan KTM Komuter, ujar Timbalan Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Majlis Tindakan Sara Hidup Negara melalui Kementerian Pengangkutan bercadang untuk memberikan subsidi pengangkutan awam kepada golongan berpendapatan rendah, B40.

Majlis itu mencadangkan pemberian pas bulanan tanpa had perjalanan bagi Rapid Rail dan Rapid Bas (RRRB) Bersepadu dan pemberian diskaun bagi perkhidmatan KTM Komuter.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika mempengerusikan majlis tersebut berkata, sebanyak RM300 juta setahun diperlukan untuk memastikan akses pergerakan pengangkutan awam boleh dimanfaatkan kepada kelompok sasaran tersebut.

Sementara itu, Ahli Tetap Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu dibuat bagi memudahkan golongan tersebut bergerak dan menuju ke destinasi masing-masing dalam kawasan Lembah Klang.

“Statusnya kini adalah cadangan, kita sasarkan golongan B40 kerana mereka banyak menggunakan pengangkutan awam untuk ke pejabat dan sebagainya.

“Jadi, mekanisme yang dicadangkan adalah dengan melaksanakan satu pas bulanan yang dilaksanakan dengan subsidi kerajaan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis selesai.

Hari ini menyaksikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang pertama diadakan selepas diaktifkan semula sebulan lalu.

Sebelum ini, jemaah menteri dalam mensyuaratnya pada 17 Ogos lalu bersetuju supaya Majlis Tindakan Sara Hidup Negara diaktifkan semula dengan struktur baharu keahlian majlis diselaraskan berdasarkan kepada ahli jemaah menteri semasa.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan subsidi kepada rakyat dalam sektor pengangkutan awam.

“Kita dah bagi banyak subsidi macam tepung semua. Tapi tiada subsidi khusus dalam kenderaan.

“Dalam negara maju pun masih ada subsidi kenderaan awam seperti yang dibuat di Singapura, Perancis dan United Kingdom,” katanya.- FreeMalaysiaToday

 

 

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *