Home » Langit Terbuka » Hukuman takzir lesbian boleh dikenakan – Mufti Wilayah

Hukuman takzir lesbian boleh dikenakan – Mufti Wilayah

Mufti Wilayah Persekutuan berkata, pada asasnya suatu kesalahan syariah itu mestilah dizahirkan untuk memberi kuasa kepada pegawai amar makruf nahi munkar untuk menangkap, seterusnya dibawa ke hadapan hakim untuk dibicarakan

BANGI – Pemerintah berhak mengenakan hukuman takzir terhadap mereka yang didapati cuba melakukan zina atau kesalahan yang dikategorikan seumpama dengannya, termasuk musahaqah dan liwat.

Pada masa sama, walaupun ada nas yang melarang pihak berkuasa melakukan intipan dan mencari kesalahan yang dilakukan secara sembunyi, tetapi ada kes-kes yang dikecualikan, jika ia memudaratkan.

Menggariskan beberapa nas al-Quran dan hadis, serta pendapat ulama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pada asasnya suatu kesalahan syariah itu mestilah dizahirkan untuk memberi kuasa kepada pegawai amar makruf nahi munkar untuk menangkap, seterusnya dibawa ke hadapan hakim untuk dibicarakan.

Memetik ayat 110 surah Al-Hujurat, beliau berkata, orang awam, bahkan pegawai penguat kuasa, dilarang mengintip dan mencari-cari kesalahan yang dibuat secara sembunyi.

Menjawab kekeliruan “hukuman pesalah lesbian bertentangan dengan al-Quran kerana melibatkan intipan dan dosa peribadi, beliau bagaimanapun berkata, ada pengecualian yang ditetapkan bagi larangan mengintip itu.

Katanya, dari sudut fiqh, boleh lihat ulama membenarkan intipan dan penyiasatan, khususnya dalam kes yang membabitkan intihak al-hurmah atau pencerobohan kehormatan seseorang.

Beliau juga merujuk kitab al-Tasyri` al-Jinaie al-Islami yang antara lain membenarkan untuk mengintip, mencari-cari dan menyiasat, sebagai langkah berhati-hati daripada luputnya suatu kehormatan yang tidak mungkin didapati semula dan daripada berlakunya perkara-perkara yang dilarang.

“Pengecualian ini begitu banyak disebut dalam kitab ulama silam seperti Raudhah al-Tolibin (10/220) oleh Imam al-Nawawi; Asna al-Matolib (4/180) oleh Syeikhul Islam Zakariyyah al-Ansari, bahkan beliau menaskan sebagai wajib untuk diintip; Mughni al-Muhtaj (6/11) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dan Ghayah al-Bayan (hlm.21) oleh Imam Syamsuddin al-Ramli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zulkifli turut mengemukakan beberapa hadis yang menunjukkan amalan para salaf mengenai bagaimana mereka memahami larangan intipan di dalam al-Quran dan pengecualiannya.

“Jelas daripada riwayat-riwayat di atas bahawa apabila terdapat syubhah terhadap perlakuan zina, maka tiada hukuman hudud yang dikenakan.

“Namun, pemerintah berhak untuk mengenakan ta’zir bagi mereka yang didapati cuba untuk berzina, atau kesalahan yang dikategorikan seumpamanya seperti musahaqah dan liwat,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *