Home » Langit Terbuka » Ibadat korban guna harta Baitulmal

Ibadat korban guna harta Baitulmal

Tujuan mengadakan ibadah korban menggunakan harta Baitulmal adalah untuk memberi manfaat dan kebaikannya dalam menzahirkan syiar Islam dalam kalangan umatnya, ujar Mufti Wilayah Persekutuan

Kuala Lumpur – Pemerintah disunatkan melaksanakan ibadat korban untuk rakyat menggunakan harta Baitulmal, khususnya di kawasan memiliki fakir dan miskin ramai serta tidak berkemampuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, saranan itu dibuat menerusi pandangan diperoleh daripada Imam Al-Khatib Al-Syarbini dan penulis kitab Al-Fiqh Al-Manhaji.

Katanya, sebagai contoh, ia digalakkan dilakukan di perkampungan Orang Asli beragama Islam yang miskin yang tidak mampu membeli lembu ataupun haiwan korban.

“Tujuannya adalah jelas untuk memberi manfaat dan kebaikannya dalam menzahirkan syiar Islam dalam kalangan umatnya.

“Bagaimanapun, jika di tempat biasa dan terdapat dalam kalangan penduduknya mampu melakukan ibadat korban, ia bertujuan mengagungkan syiar Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian memetik muat naik isu itu dalam Twitter rasmi beliau, semalam.

Dalam Twitter berkenaan, Zulkifli turut berkongsi pautan mengenai isu berkaitan membabitkan kenyataan beliau yang pernah dikeluarkan pada 2016.

Twitter itu dikongsi sempena Aidiladha yang akan disambut Rabu depan.

Zulkifli berkata, sungguhpun ada pandangan bahawa pemerintah sendiri perlu melakukan penyembelihan, tetapi boleh juga digantikan dengan orang lain.

“Rasulullah SAW menyembelih dengan tangan Baginda sebanyak 63 binatang korban manakala Saidina Ali menyembelih bakinya,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *