KOTA BHARU 15 Ogos – Hospital di negara ini perlu memberi ruang kepada pengamal pengubatan Islam untuk memberi perkhidmatan secara berwibawa kepada pesakit-pesakit dan bukannya melalui kaedah jalan belakang.
Ketua Lajnah Pengurusan Akademik Darussyifa’ Malaysia, Ikmal Zaidi Hashim berkata, sehingga kini pihaknya seolah-olah hanya boleh merawat pesakit secara ‘sembunyi-sembunyi’ sedangkan kehadiran mereka di hospital adalah untuk melengkapkan usaha penyembuhan pesakit.
Beliau berkata, keadaan ini adalah mengecewakan kerana amalan pengubatan Islam sebenarnya sudah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Perubatan Tradisional dan Kontemporari (PT&K) sama seperti perubatan tradisional Melayu, Cina dan India dan dikawalselia di bawah Akta PT&K 2016 (Akta 775).
“Selama ini kita memang terlibat dengan perubatan moden di hospital tetapi kita pergi secara ‘ad-hoc’ atas permintaan pesakit dan keluarga dalam keadaan ‘sembunyi-sembunyi’.
“Apabila ada Akta 755 sepatutnya pengamal ‘ruqyah’ diberi ruang untuk beramal secara profesional di premis Kementerian Kesihatan di seluruh negara, maknanya kita masuk sebagai pengamal yang diiktiraf.
“Sekarang sudah ada 15 hospital seluruh negara yang mempunyai perkhidmatan PT&K tetapi malangnya kita tidak diajak untuk turut serta dalam sistem yang ada,” katanya ketika ditemui pada hari kedua seminar Seminar Perubatan Integrarif 2018 ‘Ke Arah Kelestarian Kesihatan’ di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Beliau hadir menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Peranan Ruqyah Merawat Penyakit’.
Seminar julung kali anjuran Unit Perubatan Integratif dan Unit Perkembangan Kesihatan Wanita, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM itu dihadiri 350 peserta terdiri daripada ahli akademik, pengamal perubatan moden dan tradisional serta orang awam.
Sementara itu, Pengerusi Bersama seminar, Prof. Dr Nik Hazlina Nik Hussain berkata, objektif program adalah untuk berkongsi ilmu mengenai konsep asas penjagaan kesihatan menggunakan kaedah perawatan integratif dan cara mempraktikkannya. – Utusan Malaysia
KOMEN