IPOH – Pengasuh yang dipercayai mendera seorang bayi lelaki berusia tiga bulan hingga patah tangan kanan ketika dalam jagaannya di Seri Iskandar, dekat sini minggu lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Difahamkan wanita berusia 46 tahun yang sebelum ini direman membantu siasatan kes kecederaan bayi jagaannya itu dijangka dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9 pagi.
Wanita terbabit disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mendera.
Dalam kejadian 8 Ogos lalu, bayi berusia tiga bulan, Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain, patah tangan kanan dipercayai didera ketika dalam jagaan pengasuhnya di Seksyen Dua, Seri Iskandar.
Bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuh oleh ibu dan datuknya kira-kira jam 9 pagi sebelum pengasuh terbabit menghubungi bapa mangsa jam 10.45 pagi hari sama memaklumkan bayi itu tidak berhenti menangis.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Changkat Melintang oleh bapanya sebelum dirujuk di Hospital Seri Manjung, dekat sini dan pemeriksaan doktor mendapati tangan kanan mangsa dipercayai dipulas hingga patah.
Susulan itu bapa mangsa berusia 28 tahun membuat laporan polis jam 11.04 pagi 9 Ogos lalu sebelum polis menahan pengasuh berkenaan pada hari sama bagi membantu siasatan sebelum didakwa di mahkamah hari ini selepas remannya tamat. – Berita Harian
KOMEN