KUALA LUMPUR – Harga kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dikaji semula, susulan perancangan menambah keluasan seunit daripada 600 kaki persegi kepada 900 kaki persegi.
Pertambahan keluasan itu bakal menangani isu kesesakan dalam kalangan penghuninya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata kajian semula harga rumah PPR perlu dibuat berikutan wujud implikasi kewangan dari segi kos pembinaan dan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan.
Katanya, pertambahan keluasan kediaman diharap memberi keselesaan dan meningkatkan taraf hidup golongan sasar, selain menampung pertambahan bilangan keluarga dalam jangka panjang.
“Kos seunit rumah PPR sekarang adalah RM195,000, manakala kediaman swasta dengan kos RM195,000 adalah lebih selesa dengan kemudahan bersesuaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Nurul Izzah Anwar (PH-PKR Permatang Pauh) berhubung justikasi pertambahan keluasan kediaman PPR pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri diharap lebih proaktif dalam menawarkan tanah bagi membina kediaman PPR berserta kemudahan khusus bagi penduduk.
“Ketua menteri dan menteri besar bertanggungjawab memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa.
“Kerajaan akan merangka dasar bagi kerajaan negeri menawarkan tanah dengan keluasan bersesuaian dan infrastruktur memadai di kawasan sekitarnya.
“Penyeragaman di bawah bumbung kementerian adalah lebih mudah bagi tujuan pembinaan PPR.
“Kita juga akan bekerjasama dengan Bank Negara dari segi kelonggaran pinjaman serta faedah permohonan dalam menampung peningkatan pertambahan penduduk kelompok B40,” katanya.
Kepada soalan tambahan Datin Mastura Yazid (BN-UMNO Kuala Kangsar) mengenai gaya hidup sihat di kediaman sempit seperti kebersendirian dan keselamatan, Zuraida berkata, Dasar Komuniti Negara yang dirancang akan mengambil kira aspek berkenaan.
“Kita akan pastikan cara hidup mereka yang berada dalam golongan B40 dapat diperkasakan,” katanya. – HARIAN METRO ONLINE
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/07/363519/harga-ppr-dikaji-semula-zuraida
KOMEN