Home » Langit Terbuka » Hakim Bersih Kompleks Mahkamah

Hakim Bersih Kompleks Mahkamah

KUALA LUMPUR – Kira-kira 200 kakitangan, pegawai dan hakim di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini menjalankan gotong royong membersihkan kompleks berkenaan semalam.

Ini susulan kira-kira 120 pekerja pembersihan di kompleks itu melancarkan mogok sejak dua minggu lalu kerana kontraktor pembersihan yang dilantik sejak Aidilfitri lalu tidak membayar gaji pekerja.

Gotong royong yang turut disertai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum itu bermula seawal jam 8.30 pagi tadi dengan melakukan kerja-kerja seperti mengemop lantai, mengelap pintu cermin, membuang sampah, membersihkan kawasan cafe dan mencuci tandas.

Tinjauan wartawan di sekitar kompleks berkenaan sebelum kerja gotong-royong dijalankan mendapati kawasan cafe dilihat paling terjejas dengan permandangan pinggan mangkuk dibiarkan tanpa dicuci.

Turut serta dalam gotong royong itu ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; Hakim Mahkmah Tinggi dan Pesuruhjaya Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, Zaharah berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat dengan mengadakan perbincangan bersama syarikat kontraktor bagi memastikan isu sama tidak berulang.

Menurutnya, pihaknya sudah mengadakan perbincangan bersama syarikat kontraktor pembersihan, Perfect Three Solution Sdn Bhd, hari ini, bagi mengenal pasti punca insiden itu.

“Ini lebih kepada salah faham mengenai apa yang dijanjikan berbanding dengan apa yang dilaksanakan. Hari ini, kita melakukan perbincangan dengan syarikat kontraktor terbabit dan kita harap apa sahaja masalah berbangkit akan diselesaikan esok,” katanya.

Jumaat lalu, NST melaporkan, hakim, majistret dan kakitangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur menjalankan kerja pembersihan sendiri termasuk menyapu lantai dan mencuci tandas selepas 20 pekerja pembersihan mogok sejak Ramadan lalu.

Sumber dipetik berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana difahamkan kerajaan sudah membayar kepada syarikat pembersihan berkenaan.

Pada masa sama, difahamkan kontrak dengan syarikat pembersihan itu berakhir pada Disember tahun ini.

Pekerja pembersihan terbabit melakukan mogok itu didakwa kerana mereka tidak menerima gaji seperti yang dijanjikan. – BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/455325/hakim-bersih-kompleks-mahkamah

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *